Mahkamah

Permohonan batal warta kerajaan LTTE sebagai pengganas didengar 6 Ogos

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 Ogos untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan pemandu teksi, V Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan LTTE sebagai pengganas

Peguam Omar Kutty yang mewakili Balamurugan selaku pemohon berkata, pihak mahkamah memaklumkan perkara itu kepada pihak-pihak terlibat menerusi e-mel semalam.

“Permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya dan mahkamah juga memerintahkan pemohon memfailkan afidavit balasan pada atau sebelum 2 Julai ini,” kata peguam itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Katanya, pihak responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia telah memfailkan afidavit masing-masing bulan lepas.

Pada 6 Februari lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Balamurugan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.

Pada 8 Januari lepas, Balamurugan, 38, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE di dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 November 2014.

Dalam permohonan itu, Balamurugan memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah itu tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ‘ultra vires’ atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Pada 24 Februari lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Balamurugan atas lima pertuduhan berkaitan LTTE selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak meneruskan prosiding terhadap tertuduh. – BERNAMA 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button