Syed Saddiq tidak berhak guna nama Armada, Bersatu
Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berhak menggunakan nama Armada atau Bersatu.
Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta Ahli Parlimen Muar itu tidak lagi mengelirukan akar umbi dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan segala dasar dan keputusan parti.
“Saudara Syed Saddiq bebas bergerak dengan mana-mana pertubuhan berdaftar pilihan beliau.
“Namun begitu, beliau tidak berhak menggunakan nama ARMADA atau BERSATU untuk apa-apa tujuan sekalipun, terutamanya dalam percubaan berterusan beliau untuk campur tangan soal dalam parti serta melontarkan pelbagai tohmahan,” kata Wan Fayhsal dalam satu kenyataan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu mengulas kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq semalam.
Dalam sidang media itu, Syed Saddiq mendakwa sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu seorang menteri pernah mengajak datang ke pejabatnya untuk mempelawa agar beliau meninggalkan parti berkenaan.
Selain itu, katanya, menteri terbabit yang ketika itu merupakan anggota Majlis Tertinggi UMNO juga mendakwa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin seorang ahli politik yang kemaruk mahu menjadi perdana menteri.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, tindakan yang diambil oleh Muhyiddin hanyalah semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu dan menstabilkan kerajaan.
“Tohmahan-tohmahan yang dibuat di sidang media hari ini bukan sahaja menunjukkan kefahaman yang salah terhadap intipati perlembagaan parti, malah turut menimbulkan fitnah ke atas Bersatu dan barisan kepimpinannya.
“Soal kebersamaan Bersatu dan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang ‘akademik’. Perkara ini telah diputuskan oleh MPT dan dilaksanakan, malah sebuah kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri Ke-8 sudah terbentuk,” kata Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan bekas pembantu Syed Saddiq.-SM