Nasional

Langgar PKP: Anak, menantu Ahmad Zahid bayar denda RM800

ANAK dan menantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas dengan masing-masing membayar denda RM800 sahaja.

Memetik laporan BERNAMA, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 20 April lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas anak dan menantu Ahmad Zahid selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan pasangan suami isteri itu menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Mereka yang tiba di mahkamah sebelum pukul 8 pagi tadi, bagaimanapun membayar denda yang dikenakan.

Nurulhidayah, 41, dan Saiful Nizam, 49, didakwa telah bergerak dari sebuah rumah di Jalan Bayu Nyaman Country Heights, Kajang, Selangor menuju ke ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan pada pukul 9.00 pagi, 20 April lepas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut  Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar mencadangkan denda maksimum RM1,000 dan penjara dikenakan terhadap tertuduh atas alasan kejadian itu berlaku semasa fasa ketiga PKP (yang berakhir pada 28 April).

Nur Ashikin yang dibantu oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi memberitahu mahkamah alasan bahawa pasangan suami isteri itu dijemput oleh seorang timbalan menteri bukannya satu pengecualian bagi mereka untuk melanggar PKP.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon agar anak guamnya hanya diberikan bon sebagai amaran .

Dan jika tidak boleh diberikan, dikenakan denda atas alasan kedua-dua anak guam telah hadir ke Kementerian Alam Sekitar dan Air kerana mendapat jemputan melalui sepucuk surat daripada Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air bagi membincangkan sambutan Hari Bumi pada 22 April lepas.

Ahmad Zaidi  dibantu peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Surat bertarikh 17 April itu yang dialamatkan kepada Nurulhidayah turut dikemukakan kepada mahkamah.

Pihak media tidak dibenarkan memasuki bilik bicara bagi mendengar prosiding kes berkenaan.

Pada mulanya hanya lima media yang terawal tiba dibenarkan masuk ke dalam mahkamah termasuk BERNAMA sebelum diminta meninggalkan bilik bicara mahkamah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button