Nasional

Tindakan proaktif Kerajaan Negeri Sembilan tangani COVID-19

KERAJAAN Negeri Sembilan menyediakan peruntukan berjumlah RM18.74 juta dalam Akaun Amanah Bencana Negeri.

Peruntukan itu adalah untuk membiayai pelbagai program bantuan kepada rakyat dan petugas barisan hadapan dalam menghadapi kesan wabak COVID-19.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah, seluruh dunia ketika ini berhadapan dengan wabak COVID-19 yang amat memberi kesan kepada manusia.

Wabak itu turut menjejaskan hampir kesemua sektor ekonomi dunia dan Malaysia serta Negeri Sembilan turut menerima impak negatif daripadanya.

Baginda bertitah, di peringkat negeri, secara umumnya pertumbuhan ekonomi mencatatkan perkembangan sederhana dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan merupakan dua sektor utama penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, sebelum ini.

“Beta yakin, kerajaan negeri telah mempunyai perancangan dan pelan tindakan yang mencakupi seluruh sektor ekonomi bagi memastikan prestasi ini terus dipertingkatkan.

“Beta berharap agar dasar pintu terbuka kepada para pelabur diteruskan dengan memperkemaskan lagi insentif, tawaran kemudahan dan prasarana yang lengkap untuk menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Sembilan,” titah baginda seperti mana yang dilaporkan oleh BERNAMA hari ini.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14.

Istiadat perasmian yang dihadiri kesemua 36 Anggota Dewan Undangan Negeri itu mempraktikkan penjarakan sosial dan pemakaian penutup hidung dan mulut.

Mengenai program bantuan kepada rakyat dan petugas barisan hadapan, Tuanku Muhriz bertitah, antara bantuan yang telah dan sedang disalurkan adalah bantuan makanan asas kepada 39,995 orang ketua isi rumah dan bantuan tunai RM300 secara ‘one-off’ kepada 10,000 penjaja atau peniaga kecil berdaftar di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, pemandu teksi berdaftar, e-hailing atau Grab dan pemandu kereta sewa turut menerima bantuan tunai RM300 melibatkan seramai 3,333 orang.

“Kerajaan negeri turut menyumbang sebanyak RM500 kepada setiap keluarga pesakit yang dikesan positif COVID-19.

“Bagi meringankan lagi beban rakyat, kerajaan negeri mengecualikan bayaran sewa rumah Program Perumahan Rakyat bagi 4,740 orang penyewa untuk bulan Mac dan April 2020 yang menyebabkan kehilangan hasil negeri sebanyak RM1.24 juta,” titah baginda.

Titah baginda lagi, bagi membantu kontraktor kecil Bumiputera, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 1,108 projek penyelenggaraan jalan di bawah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM269.44 juta.

“Selain daripada projek MARRIS, beta dimaklumkan bahawa sebanyak RM5 juta peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi telah diluluskan bagi melaksanakan sebanyak 65 projek pembangunan.

“Adalah diharapkan, melalui peruntukan projek pembangunan ini, akan dapat membantu lebih ramai kontraktor kecil terutamanya kontraktor Bumiputera di samping membantu perniagaan lain dalam rantaian sektor pembinaan seperti perkakasan, kuari dan pasir,” titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah bagi menghargai penjawat awam, Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 telah diumumkan kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Jabatan Negeri dan semua kakitangan PBT dan Badan Berkanun Negeri dengan kadar RM1,000 seorang.

“Pembayaran berjumlah RM6.4 juta ini akan dibuat pada 8 Mei ini. Beta berharap agar pemberian ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda.

Mengenai usaha memerangi penularan wabak COVID-19, baginda menzahirkan rasa bangga dan amat menghargai komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan serta mereka yang membantu di belakang tabir.

“Beta menyeru agar semangat ini terus diamalkan masyarakat walaupun ancaman wabak COVID-19 telah tiada nanti,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan Ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Sidang DUN ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – BERNAMA-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button