Ekonomi

COVID-19: PMI April Malaysia turun 31.3 – IHS Markit

INDEKS Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit turun kepada 31.3 pada April 2020 daripada 48.4 pada Mac 2020 apabila sektor pembuatan berada di bawah tekanan berikutan langkah-langkah yang dilaksanakan untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

PMI keseluruhan IHS Markit adalah petunjuk angka tunggal komposit prestasi pembuatan.

Bacaan April menunjukkan penurunan ketara dalam keadaan perniagaan, kata IHS Markit dalam satu nota penyelidikan hari ini.

“Faktor utama yang memberi kesan kepada ekonomi pembuatan pada April adalah pelaksanaan sekatan pergerakan bagi pasaran tempatan dan eksport untuk membendung penularan wabak itu yang telah menyebabkan penurunan permintaan dan pengeluar barangan beroperasi di bawah daripada kapasiti,” kata penyedia maklumat, analisis dan penyelesaian.

Memetik laporan BERNAMA, IHS Markit berkata, dalam sesetengah kes syarikat-syarikat menggantung sepenuhnya pengeluaran ekoran tidak cukup pekerja dan mengurangkan pengambilan tempahan baharu.

“Justeru itu pengeluaran pembuatan jatuh ke kadar yang belum pernah dicatatkan sebelum ini,” katanya sambil menambah, tempahan baharu juga turun mendadak pada April disebabkan kawalan pergerakan yang dilaksanakan di dalam dan luar negara.

Gabungan kesan pengeluaran rendah dan tempoh serahan vendor yang lebih lama menyebabkan penurunan ketara dalam aktiviti pembelian dalam sejarah kaji selidik itu.

“Pekerjaan turun pada kadar sederhana dalam kalangan syarikat yang dikaji pada April,” kata penyedia maklumat itu.

Mengulas mengenai keputusan kaji selidik itu, Ketua Ekonomi Perniagaan IHS Markit Chris Williamson berkata bukan suatu yang mengejutkan langkah-langkah yang diambil untuk membendung penularan  COVID-19 membawa kepada penurunan mendadak aktiviti pembuatan pada April.

“Permintaan domestik terjejas teruk disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan pandemik itu dan pengeluaran banyak syarikat terhalang berikutan penutupan operasi perniagaan.

“Permintaan eksport jatuh menjunam apabila kerajaan seluruh dunia mengambil tindakan drastik untuk mencegah sistem penjagaan kesihatan mereka daripada tumbang,” katanya.

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button