Nasional

Noraini mahu mahasiswa dibawa pulang

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang mahasiswa yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.

Menterinya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, perkara tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri mengenai Covid-19 esok. Noraini menegaskan beliau mahu mahasiswa terbabit pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat.

“Susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri mengenai tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan, saya bersama Kementerian sebentar tadi meneruskan perbincangan dan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.

“Saya mahu anak-anak pelajar bukan sahaja dapat pulang ke rumah tetapi pulang dalam keadaan sihat dan selamat,” kata Noraini.

Beliau menjawab surat terbuka Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang mengusulkan beberapa agar mahasiwa boleh pulang ke rumah masing-masing dengan selamat untuk dipertimbangkan oleh pihak kementerian.

Antaranya cadangan menyediakan pengangkutan khas bagi membawa pulang para mahasiswa dari universiti ke negeri masing-masing secara berperingkat melalui kerjasama strategik pihak KPT, universiti dan kerajaan negeri sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis tersebut turut mencadangkan untuk KPT dengan kerjasama universiti dan kerajaan negeri memberikan subsidi untuk menampung sebahagian kos pengangkutan.
Menurut mereka, caj pengangkutan perlu diletakkan pada harga yang munasabah atau lebih baik sekiranya kos pengangkutan ditampung sepenuhnya tanpa caj bayaran kepada mahasiswa.
Selain itu, majlis tersebut juga mengesyorkan setiap mahasiswa melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum proses penghantaran mahasiswa dilaksanakan.
Pelajar yang didapati positif COVID-19 tidak sepatutnya dibenarkan pulang dan perlu dihantar untuk proses kuarantin.
“Jika kampung halaman bagi mahasiswa berada di kawasan merah atau “red zone”, kami serahkan kepada kebijaksanaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan pergerakan mahasiswa yang dibawa pulang mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN,” kata MPPK.
Mereka juga mahu pihak kementerian, memastikan kebajikan makan minum, kesihatan mental dan fizikal mereka di universiti terus dijaga sebelum mereka dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button