Kehidupan kita pasca-COVID-19
KITA mesti terfikir bagaimana kehidupan pasca-COVID-19. Golongan wanita kini sangat gembira kerana suami masing-masing sentiasa ada di depan mata dan lebih menyejukkan pagi mereka akan menyediakan sarapan untuk keluarga.
Anak-anak juga berada di sekeliling seperti zaman mereka masih kecil, tanpa perlu risau mereka keluar melepak atau merempit.
Pasca-COVID-19 sang suami kini dapat berperanan dan berfungsi sebagai ketua keluarga sebenar iaitu keluar membeli keperluan harian dan memasaknya dengan dibantu isteri serta anak-anak.
Jika sebelum ini kaum lelaki menghabiskan masa lebih melepak di kedai mamak sama ada menonton bola, tetapi kini mereka menghabiskan masa dengan keluarga.
Masa berharga sebegini tidak pernah wujud untuk sekian lama kerana masing-masing suami dan isteri sibuk bekerja seharian, manakala anak-anak hampir terbiar tanpa pemerhatian serta kasih sayang orang tua.
Kita mula belajar insaf pengorbanan yang diberikan oleh barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, anggota penguat kuasa hingga ke peranan penghantar makanan serta juga wartawan yang memberi informasi yang tepat ketika berita palsu bertebaran di media sosial.
Kita lebih memberi tumpuan berita semasa, berbanding hanya melayan video-video pendek di media sosial yang tidak memberi faedah.
Masyarakat juga mulai bersama-sama berusaha memberi sumbangan dan bantuan kepada barisan hadapan. Dan ia menjadikan masyarakat yang lebih penyayang serta muhibah.
Perubahan yang paling ketara pasca-COVID-19 adalah semua orang akan lebih mengambil berat tentang kesihatan. Sama ada lebih ramai akan memakai pelindung muka dan lebih kerap mencuci tangan bagi mengelakkan penularan atau jangkitan sebarang penyakit.
Jika sebelum ini cecair mencuci tangan terbiar sepi tanpa digunakan di restoran atau di tandas, tetapi situasi itu akan berubah.
Orang ramai pasti akan mempersoal mana-mana premis yang tidak menyediakan cecair nyah kuman atau mereka sendiri akan membawa cecair nyah kuman di dalam beg masing-masing.
Di pintu-pintu masuk pejabat pasti akan ada peralatan nyah kuman bagi memastikan penularan penyakit di pejabat. Sampai ke tahap pemasangan alat pendingin hawa akan menekankan kepada pembasmian kuman dan bakteria.
Jadi semua perlu reda minyak wangi yang mahal-mahal akan berganti dengan bauan semburan nyah kuman.
Satu hal yang pasti melegakan rakan sepejabat adalah bau ketiak apabila kalangan kakitangan yang malas memakai pewangi.
Kita juga akan lebih berhati-hati apabila berinteraksi dengan orang asing khususnya berjabat tangan kerana fobia jangkitan virus.
Bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat jangkitan wabak ini, mereka perlu diberi kaunseling supaya ia tidak menjadi sesuatu yang menekan perasan untuk tempoh yang panjang.
Pasca-COVID-19 rakyat juga kini lebih menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan dan kerajaan juga sangat prihatin dengan masalah rakyat berbanding sebelum ini ahli politik lebih sibuk dengan percaturan masing-masing untuk mengekalkan kuasa.
Tenaga profesional dihargai dan diketengahkan bagi menyelesaikan masalah yang tidak dapat dirungkai oleh orang politik.
Pihak pembangkang pula perlu menjadi lebih cerdik dan tidak hanya mengkritik semata-mata kerana mahu membangkang. Jika mereka terus membangkang membuta tuli mereka akan diserang oleh masyarakat sendiri.
Di sebalik kekalutan, kegetiran dan kesedihan ini, kita berharap Tuhan akan gantikan sesuatu yang lebih baik untuk semua.