BeritaNasional

Penyatuan umat Islam tanpa sempadan – Raja Muda Perlis

Sesungguhnya, bersatunya hati umat Islam merentas sempadan, kaum dan bangsa ialah satu kerahmatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengannya kita hidup harmoni dan diberikan peluang berkongsi ilmu, meluaskan takuk pemikiran dan menghayati Islam sebagai satu cara hidup.

Apabila memperkatakan Islam sebagai cara hidup, pernyataan ini bukan satu perbincangan yang ringkas.

. Apakah Islam itu warisan atau gagasan?

. Adakah Islam itu melalui keturunan, atau pada ilmunya?

. Apakah yang benar atau salah itu pada manusia, atau pada keterangan yang dibawa dalil-dalil?

Jangan seseorang itu terlalu cepat dan mudah untuk menjawab, sebaliknya, fikirkanlah lebih mendalam dan berhati-hati. Benar ilmu itu pegangan utama, tapi bukankah ‘sarang’ ilmu itu terletak di minda manusia?

Benar gagasan Islam itu yang wajib diikuti, namun bukankah gagasan ini tidak lain disampaikan oleh para guru dan alim ulama, yang juga manusia? Benar yang diikuti adalah dalil, bukan keturunan, tapi bukankah dalil-dalil itu disampaikan secara turun-temurun, dari satu generasi ke generasi yang lain? Dengan itu, sejauh manakah sandaran dalil itu diletakkan pada warisan turun-temurun dan sejauh manakah benar dan salah itu letaknya pada bibir sang guru dan alim ulama?

Soal epistemologi sebeginilah yang menjadi asas dan dilema, dibina di atasnya segala persoalan agama, baik daripada perkara usul atapun furu’. Daripada soal pegangan aqidah yang utama, sehinggalah kepada soal wudhu’ dan solat.

Dualiti antara ilmu yang benar dan amalan keturunan, sentiasa wujud bersama dan mustahil dapat dipisahkan. Bak silih bergantinya malam dan siang, tidak ada satunya mampu wujud tanpa kehadiran lawannya. Daripada soalan ini jugalah muncul pelbagai istilah yang bermain di minda kita.Taqlid. Ittiba’. Taksub. Adil. Sederhana. Ekstrim. Tradisional dan Tajdid.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menerima undangan bagi merasmikan ‘Program 1st International Seminar on Regional Tajdid, Tahun 2019’ yang diadakan di Kediaman TYT Gabenor Provinsi Riau di Pekanbaru, Indonesia pada pagi semalam.

Turut hadir ialah Gabenor Provinsi Riau, Datuk Seri Setia Amanah Drs. H. Syamsuar, Pejabat Sekretaris Daerah Riau, H. Ahmad Syaharofi dan Sekretaris Jenderal Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat, Dr. H Anwar Abbas.

Antara yang turut serta di dalam seminar itu ialah wakil-wakil daripada Forkopinda (Forum Koordinasi Pimpinan Daerah), Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Pemerintah di Provinsi Riau, kepimpinan Muhammadiyah dan juga Badan Zakat Nasional (BAZNAS) Riau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menambah bahawa seiring pantasnya perubahan dunia, Islam memiliki kaedah dan cara tersendiri bagi memastikan dirinya kekal kondusif dan dinamik dalam menangani masalah ini.
Namun, dalam masa sama soal sebegini tidak boleh ditangani oleh sesiapa sahaja.

Kita memerlukan golongan pakar, yakni mereka yang mendedikasikan masa mereka untuk belajar, mengajar dan memikirkan selok-belok ilmu yang cukup kompleks namun memuaskan ini.

Di akhir program Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyaksikan majlis pemeteraian Penandatanganan Perjanjian Persefahaman kerjasama di antara pihak MAIPs ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor dengan Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia yang diwakili oleh Dr H. Anwar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button