Nasional

Dalam setiap krisis, pasti ada peluang dan harapan- Raja Muda Perlis

“DALAM setiap krisis yang dilalui, pasti ada peluang dan harapan baru untuk dikecapi”.

Hal itu jelas melalui kepelbagaian teknologi atas talian (online) hari ini yang memudahkan lagi kehidupan kita dan begitu praktikal di mana segala maklumat mudah diperolehi dengan hanya mengakses internet melalui telefon bimbit sahaja.

Kemudahan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bersama ahli keluarga dalam setiap krisis terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Melalui teknologi atas talian, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga masing-masing di rumah dan masa yang ada dapat diisi dengan sebaiknya.

Demikian titah saranan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail agar teknologi atas talian ini menjadi ‘alat’ dan platform terbaik untuk dimanfaatkan secara bersama dalam setiap krisis.

Pendekatan ‘work from home’ dalam tempoh PKP ini turut menggunakan sepenuhnya teknologi atas talian.

Ini termasuklah mengadakan sesi mesyuarat melalui sidang video, menggunakan kaedah email bagi menggantikan penghantaran surat untuk perkara-perkara yang penting, menggunakan kemudahan aplikasi semasa seperti WhatsApp, Facebook, Telegram, Zoom dan lain-lain saluran media sosial untuk mewujudkan jaringan kumpulan kerja bagi membincangkan serta menyalurkan maklumat sesama walaupun berada di rumah masing-masing.

Raja Muda Perlis turut menasihati ibu bapa supaya membimbing anak-anak untuk memanfaatkan teknologi atas talian sebaiknya.

Titah baginda, mereka kena sentiasa memantau, membantu serta bersama-sama mencari informasi atau video yang bermanfaat untuk ditonton dan dipelajari di rumah.

“Awasilah anak-anak yang ‘bermain’ telefon bimbit agar mereka tidak terlalu leka dan menyalah gunakan teknologi ini,” tambah Baginda.

Bagi orang awam yang berkemampuan, titah baginda, ambillah peluang ini untuk menghulurkan sumbangan kewangan yang kini boleh dilakukan secara atas talian kepada agensi-agensi yang diiktiraf oleh kerajaan.

Titah baginda, ini  dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.

Rakyat jelata juga disarankan agar tidak memanipulasi teknologi atas talian untuk menyebarkan berita tidak sahih dan rakyat tidak seharusnya mudah mempercayai berita-berita seumpama ini. Ia sudah pasti akan mencetuskan situasi panik, kekeliruan di samping adalah menjadi kesalahan dalam menularkan maklumat peribadi pesakit COVID-19 yang masih dalam rawatan.

Seharusnya kita hanya perlu menularkan maklumat daripada sumber yang sahih sahaja seperti info serta hebahan semasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara untuk kebaikan bersama.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan bahawa MAIPs atas perkenan Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua tidak ketinggalan dan berusaha mengoptimumkan perkhidmatan atas talian antara lainnya dengan mengumumkan ‘Bantuan Khas Rangsangan Asnaf’ bagi membantu golongan asnaf yang terjejas akibat penularan pandemik wabak COVID-19 semalam.

Para asnaf tidak perlu lagi keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan tersebut, sebaliknya bantuan akan terus dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.

Senarai penerima boleh disemak melalui atas talian di www.asnaf.maips.gov.my/bantuancovid.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button