PRK

PRK Tanjung Piai: Anggota polis mengundi awal esok

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semakin menghampiri hari penentuan apabila 280 pengundi awal akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih esok.

Mereka merupakan 280 anggota polis yang akan membuang undi di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pusat pengundian awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas yang merupakan saluran satu akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Untuk saluran dua bagi DUN Kukup pula, waktu pengundian adalah dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.

“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” kata dalam satu kenyataan.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 16 November ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu di Hospital Pontian 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PH, Karmaine Sardini berdepan pertandingan enam penjuru iaitu calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan, Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Jumlah pengundi Parlimen Tanjung Piai kini mempunyai seramai 52,986 pengundi berdaftar

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button