Nasional

KPT salur sumbangan, khidmat psikososial, perubatan kepada mangsa letupan Putra Height

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengenalpasti empat (4) orang pelajar Intitusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas dan menjadi mangsa dalam insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights.

Mereka semua berada dalam keadaan stabil dan dua daripadanya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights, manakala dua lagi telah pulang ke kampung, namun masih dalam keadaan trauma dengan kejadian yang menimpa.

KPT telah menyelaras misi bantuan di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) juga melalui Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) melibatkan sumbangan keperluan asas, psikososial, perubatan dan sukarelawan. Enam (6) insentif telah diumumkan oleh KPT adalah seperti berikut:

1. Sumbangan sebanyak RM2,000 oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada setiap empat (4) orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terkesan. Bantuan lain akan dinilai dan dimaklumkan kemudian;
2. Pelajar yang terkesan ini juga diberi kelonggaran untuk lewat melakukan pendaftaran bagi semester baharu dijangka pada 7 April 2025. Sebarang maklumat lanjut boleh terus menghubungi IPT berkenaan;
3. Pengagihan barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, kit kebersihan diri dan keperluan asas akan diberi kepada kesemua mangsa di Pusat Pemindahan Sementara;
4. Mengaturkan sesi kaunseling dan sokongan psikologi kepada semua mangsa terutama yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan;
5. Menyediakan perkhidmatan klinik bergerak menerusi Konsortium Hospital Universiti Awam (KHUAM) kepada komuniti yang terjejas bagi memberikan rawatan kecemasan, pemeriksaan kesihatan dan sokongan perubatan kepada mangsa kebakaran yang memerlukan perhatian segera; dan,
6. Menggerakkan sukarelawan-sukarelawan dengan koordinasi bersama pihak berkuasa bagi memastikan proses pasca pemulihan berjalan lancar.

KPT juga bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan kepada mangsa terutama kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas. Semoga mangsa-mangsa yang ditimpa musibah agar bertabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button