Tangisan bapa mandikan jenazah anak undang sebak di hati netizen
TANGISAN seorang bapa ketika memandikan jenazah anaknya telah mengundang rasa sebak ramai apabila cahaya mata yang dibesarkannya meninggal dunia selepas bertahun-tahun menderita akibat gangguan saraf otak.
Difahamkan, adik Mohamad Nur Iman Ramadhani, 12, yang sebelum ini pernah tular kerana kisah bapanya menemani beliau menjalani rawatan Terapi Oksigen Hiperbarik (HBOT), telah menghembuskan nafas terakhir pada Subuh Rabu 24 Disember 2024.
Menerusi video yang dikongsi oleh ibu bapanya di akaun TikTok @imanramadhanii, dapat dilihat jelas reaksi si bapa yang tidak dapat menahan air mata ketika memandikan jenazah anak tersayang. Dalam video tersebut, beliau juga kelihatan termenung seketika sambil menatap wajah jenazah anaknya. Sebelum selesai, beliau sempat mencium jenazah beberapa kali sebelum meneruskan urusan membawa Allahyarham ke tanah perkuburan.
Ibu dan bapa Allahyarham turut dilihat menaiki van jenazah bersama-sama keranda dalam suasana penuh hiba. Mereka kemudian menurunkan jenazah dan mengiringinya ke liang lahad untuk disemadikan dengan penuh penghormatan.
Perkongsian tersebut telah menyentuh hati ramai pengguna media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan turut bersedih melihat keperitan yang dilalui oleh ibu bapa kanak-kanak tersebut. Dalam masa yang sama, mereka memberikan kata-kata semangat kepada keluarga, dengan mengatakan bahawa adik Nur Iman kini telah bebas daripada penderitaan yang dialaminya semasa hayat.
Allahyarham Mohamad Nur Iman Ramadhani telah lama menghidap penyakit adrenoleukodystrophy, iaitu gangguan saraf otak yang jarang berlaku. Gejala awal penyakit ini mula dikesan sejak Julai 2021, dan sejak itu keluarga beliau gigih berusaha mendapatkan rawatan terbaik untuknya.
Kisah adik Nur Iman mula mendapat perhatian masyarakat sekitar tiga tahun lalu, dan ramai warganet yang setia mengikuti perkembangan kesihatannya. Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada mereka yang pernah tersentuh dengan kisahnya.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, dan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.