Ekonomi

Perlis laksana pelbagai insentif tarik pelabur – Raja Muda Perlis

Negeri Perlis menyediakan pelbagai insentif pelaburan melalui kerjasama dengan agensi Kerajaan Pusat bertujuan menarik minat para pelabur tempatan dan asing ke negeri ini khususnya di kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang melibatkan kluster industri halal, automotif, pembuatan hijau, dan tenaga boleh diperbaharui.

Antara insentif dan inisiatif yang ditawarkan adalah termasuk pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% selama hingga 15 tahun, elaun cukai pelaburan (ITA) sebanyak 100% untuk tempoh sehingga 10 tahun, serta pengecualian duti import dan duti setem.

Usaha-usaha ini turut melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri ini dengan pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Greentech Malaysia, Perbadanan Bioekonomi serta beberapa pihak lain.

Maklumat berkenaan telah dipersembah maklumkan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Rusdi Yahya dan dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN), Zuhair Jamaludin kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena majlis mengadap oleh delegasi daripada Khuzama Valley Investment (KVI) yang berpengkalan di Riyadh, Arab Saudi di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Turut hadir sama adalah Pengarah Urusan Kumpulan, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur , Datuk Sri Dr. Haji Irmohizam Haji Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Delegasi dari KVI diwakili oleh Pengerusinya, Mansour Ayedh Alkahtani, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KVI, Osama Hassan Ahmed dan Perwakilan Asia Tenggara KVI, Elsadig Awad.

Syarikat daripada Arab Saudi ini turut mengadakan lawatan ke tapak Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang akan berperanan sebagai pelabuhan darat serta hub ekonomi baharu yang bakal memanfaatkan jaringan kereta api di antara Malaysia dan Thailand yang dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada suku tahun kedua bagi tahun 2025.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button