Pemilik kedai enggan terima telefon warga emas, sebaliknya hulur bantuan kewangan
SEBUAH kisah menyentuh hati tular di media sosial apabila seorang pemilik kedai telefon mengambil keputusan untuk membantu seorang warga emas yang cuba menjual telefonnya bagi menampung kos rawatan kaki. Tindakan mulia pemilik kedai itu berjaya meraih perhatian dan pujian ramai.
Dalam video yang dikongsi oleh akaun TikTok bosslee_oe, seorang warga emas yang menggunakan tongkat kayu kelihatan datang ke kedai tersebut dengan membawa telefon pintar Xiaomi 13. Dia berniat menjual telefon itu untuk mendapatkan wang bagi merawat luka kakinya yang teruk akibat diabetes.
“Apabila saya mendengar kisahnya, air mata saya hampir mengalir. Akhirnya saya berkata kepadanya, ‘jangan jual telefon awak. Saya akan beri awak wang untuk merawat kaki awak’,” kata pemilik kedai itu.
Menurutnya, warga emas itu pada mulanya enggan menerima bantuan dan tetap mahu menjual telefonnya. Namun, pemilik kedai tersebut mengambil tangannya dan meletakkan wang ke dalam genggaman warga emas itu.
Tidak cukup dengan itu, pemilik kedai itu memasukkan nombor telefonnya ke dalam telefon warga emas tersebut agar dia boleh dihubungi jika menghadapi kesulitan pada masa hadapan.
“Pada saat itu, dia menangis teresak-esak mendengar apa yang saya katakan. Saya juga memberitahunya, jika dia menghadapi kesusahan, dia boleh datang ke kedai saya atau menghubungi saya bila-bila masa,” tambahnya.
Video tersebut turut memaparkan pemilik kedai membantu warga emas itu membuka pintu ketika dia ingin beredar. Warga emas itu kelihatan sangat bersyukur dan memegang erat telefonnya sambil menunduk berulang kali tanda berterima kasih.
Netizen Puji Sikap Prihatin
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan mulia pemilik kedai tersebut dan menyatakan hasrat untuk menyokong perniagaannya.
“Semoga murah rezeki pemilik kedai ini. Contoh terbaik bagaimana kita boleh membantu sesama manusia,” tulis seorang pengguna.
“Kadang-kadang, kebaikan kecil seperti ini boleh mengubah hidup seseorang. Terima kasih atas keprihatinan anda,” komen seorang lagi.
Kisah ini membuktikan bahawa nilai empati dan kebaikan tidak ternilai harganya, terutama apabila melibatkan mereka yang benar-benar memerlukan.