PTTI Rai ulang tahun ke-10 sempena satu dekad kecemerlangan dalam pendidikan
PUSAT tuisyen terkemuka, PTTI, meraikan ulang tahun ke-10 dengan penuh meriah dalam sebuah acara yang berlangsung di Putrajaya pada 19 Disember lalu.
Sejak penubuhannya, PTTI telah mencipta nama sebagai salah satu pusat peningkatan akademik yang paling dipercayai di negara ini.
Sebagai pakar dalam membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI menyediakan bimbingan berkualiti tinggi untuk membantu pelajar cemerlang dalam akademik.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman, atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Fana, berkata bahawa selama sedekad ini, PTTI telah membantu lebih 100,000 pelajar SPM di seluruh negara.
“PTTI bermula dengan usaha kecil untuk membantu pelajar SPM serta minat yang mendalam dalam bidang pengajaran. Kami juga berbangga dapat membantu lebih 2,000 pelajar mengubah keputusan peperiksaan mereka dari G ke A.
“Sepanjang tempoh ini, PTTI telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk Brand Laureate Award. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas kepercayaan dan sokongan ibu bapa yang bersama-sama membantu anak-anak mereka mencapai kejayaan,” kata Cikgu Fana.
Beliau turut berkongsi visi besar PTTI untuk menjadi “Netflix of Education” dengan sasaran 2 juta pengguna menjelang tahun 2028, selain menekankan komitmen pusat itu untuk menyediakan aplikasi pembelajaran yang inovatif.
Menurut Cikgu Fana, kejayaan PTTI tidak dapat dicapai tanpa sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk ibu bapa, pelajar, dan tenaga pengajar yang berdedikasi.
“Kami amat bersyukur atas kejayaan yang diraih sepanjang 10 tahun ini. PTTI sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar kami, membantu mereka merealisasikan potensi penuh mereka.
“Antara pencapaian terbesar kami ialah kadar kelulusan pelajar yang tinggi serta penyediaan pendekatan pembelajaran inovatif melalui platform dalam talian dan modul yang tersusun,” katanya.
Pada tahun 2022, PTTI turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Best Education Companies di Dubai.
Melangkah ke hadapan, Cikgu Fana berkata bahawa PTTI berhasrat untuk terus memperluaskan perkhidmatan dan menyentuh lebih banyak kehidupan pelajar di seluruh Malaysia dalam dekad yang akan datang.
“PTTI bercita-cita menjadi pusat pendidikan pilihan utama yang dapat memberikan impak positif kepada lebih ramai pelajar,” tambahnya.