Nasional

Tujuh maut dalam kemalangan babit tiga kenderaan di Ayer Keroh

TUJUH mangsa maut sementara 33 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka  Mohd Pisar Aziz berkata, mangsa yang terbunuh dalam nahas berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh itu membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.
Beliau berkata, bayi berkenaan merupakan antara lima penumpang MPV yang maut dalam kejadian itu.
Sementara dua lagi mangsa masing-masing pemandu dan penumpang bas persiaran.
“Mangsa terlibat adalah seramai 40 orang, tujuh daripadanya meninggal dunia dan 33 telah dihantar ke Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Pantai Ayer Keroh akibat cedera dalam kemalangan ini.
“Setakat ini, kita mengambil masa lebih kurang empat jam dan operasi ini semua sudah terkawal. Proses mengalihkan bas, treler, MPV serta muatan pakaian terpakai yang tercampak daripada treler itu sedang dilakukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tengah malam tadi.
Menurut  Mohd Pisar, semua mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan setakat ini pihaknya percaya tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas ngeri berkenaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button