Saringan kesihatan percuma perlu diperluas – Raja Muda Perlis
Lebih banyak pusat perkhidmatan khusus bagi menjalankan pemeriksaan awal terhadap pesakit yang menunjukkan tanda-tanda atau berisiko menghadapi masalah jantung wajar diwujudkan. Sebagai langkah untuk menggalakkan lebih ramai menjalani saringan kesihatan, perkhidmatan ini boleh ditawarkan secara percuma melalui mekanisma-mekanisma yang proaktif.
“Pusat-pusat kesihatan juga perlu sentiasa mengemaskini dan berkongsi maklumat terkini berkaitan keadaan kesihatan pesakit masing-masing”.
“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran individu tentang tahap kesihatan mereka sendiri. Secara tidak langsung, mereka dapat mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan dan memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik’.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menghadiri kursus ‘Heartsaver CPR AED’ di Golden Lounge, Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Tail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi IJN, Datuk Sri Dr. Haji Azhari Rosman.
Turut serta dalam kursus berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri-puteri Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Kursus menggunakan kurikulum American Heart Association (AHA) dan Fakulti CPR IJN berkenaan dikendalikan oleh Pakar Perubatan Kecemasan IJN, Dr. Farina Mohd Salleh berkenaan serangan jantung dan henti jantung serta perbezaan kedua serangan ini yang mampu meragut nyawa jika tanpa bantuan dan tindakan yang pantas sewajarnya.
Dr. Farina turut berkongsi penerangan dan teknik-teknik bagi menjalankan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) bagi dewasa, bayi, penggunaan Defibrilator luaran automatik (AED) serta teknik yang perlu dilakukan ketika menghadapi situasi tercekik bagi dewasa dan juga bayi.
Dalam perkembangan lain pula Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis beserta anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana, dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail menitahkan ucapan selamat bergembira bersama seisi keluarga kepada semua rakyat Negeri Perlis yang menyambut Hari Krismas pada 25 Disember 2024 tidak kira di mana sahaja mereka berada dengan harapan semoga semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus segar dan sentiasa dipertambah baik sesama masyarakat di negeri ini.