Politik

Jangan gesa kerajaan campur tangan urusan mahkamah

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah meminta Pemuda UMNO Sabah supaya tidak mendesak kerajaan mencampuri urusan mahkamah.

Pengarah Komunikasinya, Fekirie Gobet mengingatkan rakan politiknya itu bahawa tabiat lama yang menyaksikan berlaku campur tangan dalam kes mahkamah perlu dihentikan. Justeru jelas beliau, tidak wajar menggesa kerajaan menyalah gunakan kuasanya.

“Pemuda Umno harus meninggalkan amalan lama campur tangan dalam kes mahkamah untuk membebaskan rakan politik mereka,” katanya dipetik.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim menggesa pihak pendakwaan menarik balik segala kes yang didakwa di mahkamah ketika era pentadbiran kedua Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU 2018 adalah cacat memandangkan ia dibuat terburu-buru yang digambarkan ‘penuh racun dan permusuhan’.

Sufian dalam laporan media berkata, walaupun yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak berkompromi dalam perkara berkaitan rasuah mahupun menyalahgunakan kuasanya untuk menggugurkan kes, namun langkah tersebut dilihat dapat memperbaiki imej keadilan Malaysia di peringkat antarabangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button