Nasional

Malaysia Madani: Semua kaum perlu berinteraksi, saling menghormati

Gagasan Malaysia Madani yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri adalah bagi memastikan terbentuknya masyarakat Malaysia yang maju, bertamadun dan inklusif tanpa meninggalkan nilai-nilai moral dan agama yang murni.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, gagasan Malaysia Madani amat sesuai diamalkan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia agar semua rakyatnya saling berinteraksi secara harmoni.

“Gagasan ini sangat penting kerana rakyat berbilang agama dan etnik perlu saling berinteraksi dan menghormati bagi membentuk negara yang bersatu padu, harmoni, sejahtera, bantu-membantu, saling melengkapi yang penuh dengan rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Amanat & Wacana Minda Madani yang dianjurkan di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu dalam rangka lawatan kerja sehari beliau ke Hulu Selangor.
Menurut Dr Zulkifli lagi, Gagasan Malaysia Madani konsisten menyuburkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang setiap anggota masyarakat.

Tambah beliau, konsep itu juga mampu menjamin kemajuan dan peradaban ajaran Islam melalui ilmu pengetahuan yang lebih komprehensif.

Dalam program berkenaan, Dr Zulkifli turut menyantuni para pelajar OKU Penglihatan Darul Quran yang serang mengikuti Program Sijil Asas Tahfiz Darul Quran.

Beliau kemudiannya menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bandar Utama, Batang Kali, sebelum menyampaikan bantuan kepada 50 buah keluarga asnaf dalam Sesi Jerayawara Madani Peduli & Ziarah Kasih di Balai Raya Taman Seri, Batang Kali.

Selain menziarahi beberapa buah rumah, beliau turut menyampaikan cenderahati apresiasi kepada 10 orang mantan imam dan ketua komuniti di sekitar Hulu Selangor.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button