Nasional

Malaysia sokong deklarasi Kaherah untuk perkasa belia

Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang berlangsung di Kaherah,  Mesir pada 18 – 19 Disember 2024 bertemakan “Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy” telah melabuhkan tirainya dengan penyertaan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan terdiri daripada Mesir, Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pada sidang kali ini, mesyuarat Ketua-ketua Negara dan Kerajaan telah mencapai kata sepakat untuk menyokong Deklarasi Kaherah sebagai bukti komitmen untuk memperkasakan belia sebagai pemimpin masa hadapan dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Saya telah diminta oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakili beliau dan Malaysia untuk Sidang Kemuncak kali ini. Dalam Kenyataan Negara yang disampaikan, saya telah menyatakan sokongan Malaysia kepada pembangunan belia terutamanya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.

“Kita berhadapan dengan belia zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika.

“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita kerana masyarakat
yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut. Ini juga yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) pula adalah tulang belakang daya tahan ekonomi dan inovasi. Dalam rangka kerja D-8, pengukuhan SME dan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam industri baru seperti ekonomi halal, perniagaan tani, teknologi hijau dan penyelesaian digital sesama negara ahli D-8 boleh membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Sebagai sebuah blok di bawah Negara-negara D-8, Malaysia mencadangkan negara-negara anggota untuk menawarkan biasiswa, latihan vokasional, dan program permulaan yang khusus untuk memperkasakan belia di Palestin yang terlibat dengan konflik yang masih tiada kesudahan kerana mereka juga mempunyai impian dan generasi yang perlu dibangunkan.

SESI KHAS SITUASI DI PALESTIN DAN LUBNAN

Katanya, dalam Sidang Kemuncak D-8 kali ini, Kerajaan Republik Mesir turut mengadakan sesi khas untuk membincangkan situasi semasa di Palestin dan Lubnan.

“Jelas sekali, terdapat dwi-standard yang mengawal setiap tindak tanduk masyarakat antarabangsa. Seluruh dunia telah menyaksikan dan mengutuk Israel atas kekejamannya, tetapi tidak seorang pun, bukan satu entiti pun dapat menghalangnya.

“Semuanya kerana Israel disokong oleh kuasa Barat; kuasa yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, tetapi hanya apabila ia sejajar dengan kepentingan mereka, acuh tak acuh kepada rakyat Palestin kehilangan nyawa dalam proses itu.

“Saya menegaskan bahawa Malaysia menyeru Kumpulan Negara D-8 mengambil tindakan segera, bergerak  sebagai satu kumpulan. Sejarah akan menilai kita bukan dengan ucapan yang kita buat hari ini, tetapi dengan tindakan yang kita lakukan.

“Janganlah dikatakan kita terbiar sedangkan seluruh rakyat Palestin menderita. Janganlah dikatakan bahawa kita membenarkan kemunafikan untuk menentukan punca keadilan. D-8 mesti mengatasi kemunafikan ini. Kita mesti menjadi suara orang yang tidak bersuara. Kita mesti berdiri dengan satu suara, dan satu tindakan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button