Kenyataan panjang Ketua Penerangan Bersatu berkaitan jawatan dalam Perikatan Nasional
Berikut dimuatkan kenyataan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz:
ROMBAKAN SEMULA PN: TULISAN DR AFIFI TIDAK BERASAS
1. Saya merasa terpanggil untuk memberi respons terhadap tulisan seorang penganalisis politik, Dr. Muhammad Afifi Abdul Razak, bertajuk “Mengharap rombakan semula lantikan utama Perikatan Nasional”. Tulisan beliau merupakan hasil sejumlah kekeliruan dan andaian dangkal yang perlu diperbetulkan demi menjaga integriti dan persepsi terhadap PN. Berikut adalah penjelasan saya.
PELANTIKAN JAWATAN PN BERASASKAN PEMILIHAN PARTI BERSATU
2. Pertama, Afifi nampaknya keliru mengenai konteks pelantikan jawatan baru-baru ini. Untuk makluman, pelantikan tersebut bertujuan mengisi jawatan-jawatan yang diperuntukkan kepada BERSATU berdasarkan keputusan pemilihan parti BERSATU pada 2 November 2024. Jawatan-jawatan tersebut termasuk Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Penerangan dan dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN. Keputusan ini adalah reflektif kepada pemilihan dalaman BERSATU, bukan keputusan unilateral seperti yang didakwa.
3. Kedua, soal siapa yang dilantik oleh Presiden BERSATU untuk mengisi jawatan-jawatan yang disandang oleh BERSATU di dalam PN sewajarnya diserahkan kepada Presiden BERSATU kerana dia lebih mengetahui tugas dan peranan yang telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi BERSATU, termasuk Naib-Naib Presiden BERSATU dan Ketua Penerangan BERSATU. Jangan membuat dakwaan dan andaian bahawa tiada proses konsultatif mengenai pelantikan Ketua Penerangan PN. Keputusan Presiden BERSATU tidak melantik Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz untuk mengisi jawatan Ketua Penerangan PN sudah tentu dibuat selepas mendapat sejumlah pandangan dan nasihat termasuklah mendapatkan input daripada diri saya sendiri.
PROSES RUNDINGAN DAN PELANTIKAN DI DALAM PN
3. Ketiga, kekeliruan Afifi mengenai pengisian jawatan-jawatan BERSATU dalam PN oleh Presiden BERSATU mengundang kepada andaian tidak berasas dan tuduhan jahat yang seterusnya, iaitu bahawa tiada proses konsultatif yang berlaku, punca perletakan jawatan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan cadangannya untuk mewujudkan “Pengerusi Bersama atau “Council of Elders” (Majlis Penatua) yang terdiri daripada pengerusi parti-parti gabungan atau negarawan berpengalaman kononnya bertujuan memastikan keputusan dibuat secara kolektif dan bersifat konsultatif, sekali gus memupuk semangat kerjasama antara parti komponen”. Bagi saya, secara jahat, Afifi telah menuduh bahawa proses membuat keputusan dalam PN tidak bersifat kolektif dan konsultatif. Andaian ini amat dangkal, tiada asas dan menjelekkan bagi seseorang bergelar doktor kerana badan gabungan seperti Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (BN) itu sendiri adalah bersifat rundingan dan konsultatif, tidak seperti parti politik seperti Umno, BERSATU, Pas dan Pkr, di mana Presiden diperuntukkan dengan sejumlah kuasa tertentu oleh perlembagaan parti masing-masing. Itupun dalam banyak keadaan, ada perkara yang tidak boleh diputuskan oleh Presiden melainkan selepas dibawa kepada MKT atau Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.
4. Andaian dangkal Afifi ini jelas apabila dia menyebut, “saya turut mencadangkan agar lantikan jawatan utama seperti setiausaha agung, bendahari agung, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya dilakukan melalui perbincangan dan persetujuan bersama dalam mesyuarat. Malangnya, keputusan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 9 Disember lalu menunjukkan sebaliknya. Barisan kepimpinan diumumkan tanpa rundingan, dan ahli mesyuarat hadir hanya untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan unilateral Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin”. Ini bukti
nyata Afifi tidak faham dan tiada maklumat mengenai butiran tulisannya. Paragraf-paragraf seterusnya dalam tulisannya menampakkan lagi sejumlah kekeliruan dan kedangkalan andaian Afifi.
5. Seperti yang saya sebutkan, pertama, Afifi keliru mengenai ‘exercise’ pengisian jawatan BERSATU dalam PN oleh Pengerusi BERSATU. Kedua, kedangkalan Afifi ini adalah kerana dia mengandaikan proses membuat keputusan ini tidak melalui proses perbincangan. Sebagai penganalisis yang menganalisis jauh dalam kamar pejabat, Afifi mungkin tidak tahu bahawa sebelum Mesyuarat MKT PN, ada pertemuan antara Presiden BERSATU dan Presiden Pas dan perkara mengenai jawatan dan apa sahaja boleh dibangkitkan semasa pertemuan ini.
6. Sekiranya ada permintaan daripada Pas untuk memegang jawatan-jawatan tertentu, ia perlu dilakukan secara pertukaran suka sama suka (‘swapping’) dengan jawatan lain yang disandang oleh Pas. Ketika ini, jawatan yang dipegang oleh Pas di dalam PN adalah Timbalan Pengerusi, Timbalan Setiusaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Pemuda dan dua (2) Ahli MKT. Jika Pas berkehendakkan jawatan Ketua Penerangan PN, Pas boleh mencadangkan agar ‘swapping’ ini dibuat untuk menggantikan jawatan Ketua Pemuda PN yang disandang oleh Ketua Pemuda Pas atau jawatan Pengarah Pilihan Raya yang disandang oleh Menteri Besar Kedah. Cadangan ini boleh sahaja dibangkitkan di dalam pertemuan antara Presiden BERSATU dan Presiden Pas, atau dibangkitkan di hadapan semua Ahli MKT PN. Apabila ia tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat MKT PN, iaitu platform yang terbaik untuk perbincangan secara harmoni semua pemimpin parti-parti komponen PN, maka boleh dianggap perkara ini telah selesai dan tidak wajar dibangkitkan di luar Mesyuarat MKT kerana ia telah menjadi keputusan kolektif Ahli-ahli MKT PN.
7. Tuduhan Afifi bahawa ‘Pas diabaikan’ adalah tuduhan jahat kerana dia keliru mengenai tujuan ‘exercise’ pengisian jawatan BERSATU ini, meremehkan peranan dan keputusan kepimpinan tertinggi Pas yang ada dalam Mesyuarat MKT PN dan langsung tidak sedar bahawa Presiden Pas dan Presiden BERSATU telah bertemu secara empat mata sebelum Mesyuarat MKT PN.
PELANTIKAN SETIAUSAHA AGUNG
8. Afifi cuba mempertikaikan pelantikan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN kononnya sebagai bukti Pas diberi jawatan kecil. Sekali lagi ini bukti pemikiran dangkal Afifi mengenai struktur dan pengurusan organisasi. Seperti yang disebut, jawatan Setiausaha Agung PN ini diisi oleh Azmin kerana ia adalah jawatan yang disandang oleh BERSATU dan Azmin dilantik berikutan lantikannya sebagai Setiausaha Agung BERSATU dalam pemilihan BERSATU baru-baru ini. Kedua, dalam mana-mana organisasi, termasuk Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, Pengerusi melantik Setiausaha dalam kalangan pemimpin parti yang sama bagi melicinkan urusan pentadbiran. Saya fikir amalan yang sama berlaku dalam struktur organisasi Ketua Pemuda PN dan Badan-badan Perhubungan Negeri PN. Logiknya adalah – tidak wajar mewujudkan satu lagi lapisan birokrasi dalam rantaian arahan. Ini asas Pengurusan 101 yang sepatutnya Afifi sudah faham. Tidak masuk akal apabila Pengerusi meminta Setiausaha Agung melakukan sesuatu, Setiausaha Agung pula terpaksa merujuk kepada Presiden partinya terlebih dahulu sebelum melaksanakan arahan Pengerusi. Adakah Afifi terlalu naif dan tidak faham kaedah berorganisasi dalam hal ini? Ketiga, jawatan yang diberikan kepada Pas adalah Timbalan Setiausaha Agung bukan Penolong Setiausaha Agung. Jawatan ‘Timbalan’ dan bukan ‘Penolong’ ini memberi gambaran bahawa peranan yang dimainkan oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu amat penting dan bertujuan untuk melicinkan perjalanan organisasi semasa ketiadaan Setiausaha Agung.
9. Tugas Setiausaha Agung tidak boleh dipisahkan daripada parti induknya bagi mengelakkan lapisan birokrasi yang membebankan. Afifi perlu memahami bahawa jawatan Setiausaha Agung diisi berdasarkan keperluan pentadbiran, bukan sekadar pembahagian kuota.
CADANGAN KPI LEBIH PRAKTIKAL BERBANDING PENUBUHAN MAJLIS PENATUA
10. Ketiga, saya tidak nampak rasional cadangan Afifi untuk Penubuhan Majlis Penatua (‘Council of Elders’) untuk menjadikan PN lebih efektif. Afifi sekali lagi keliru mengenai fungsi MKT badan gabungan atau pakatan parti-parti politik dengan organisasi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Badan Amal dan Kebajikan atau Organisasi Pemikir (‘think tank’). Cadangan saya kepada Afifi, silalah rujuk Perlembagaan PN dan pada waktu yang sama merujuk juga Struktur Organisasi dan Perlembagaan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) terlebih dulu sebelum memberikan cadangan separuh masak seperti ini.
11. Bukankah lebih objektif dan masuk akal jika Afifi mencadangkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap pemegang jawatan dalam MKT PN berbanding mencadangkan pembentukan satu lagi organisasi di dalam organisasi? Misalnya;
i. KPI seorang kepimpinan dan ahli MKT PN yang paling asas adalah untuk hadir setiap Mesyuarat MKT PN. Menurut Perlembagaan sepatutnya ada sekurang-kurangnya empat kali Mesyuarat MKT setahun. Jika Ahli MKT sentiasa gagal hadir ke Mesyuarat MKT PN tidakkah itu bermaksud kegagalan paling asas seorang anggota MKT PN? Bagaimana dia mahu memberi input jika dia sentiasa tidak hadir dalam Mesyuarat MKT PN?
ii. KPI untuk Setiausaha Agung misalnya, adalah berapa banyak mesyuarat pengurusan dan penyelarasan di peringkat Pusat dan Negeri yang mesti diadakan, dan berapa banyak penambah baikan aspek pengurusan parti dan sistem pengkalan data yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun.
iii. KPI untuk Bendahari Agung misalnya adalah berapakah jumlah dana yang boleh dikumpulkan dari setiap parti komponen dan dari sumber-sumber lain untuk program-program PN dan persiapan menghadapi PRU16.
iv. KPI bagi Ketua Penerangan misalnya, adalah berapa jumlah jurucakap PN yang berjaya dilahirkan dan diketengahkan, jumlah saluran dan rangkaian komunikasi PN yang telah diwujudkan dan berapa banyak program penerangan di seluruh negara yang mesti dilaksanakan.
KPI juga perlu ditentukan bagi pemegang jawatan yang lain seperti Timbalan Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Pengarah Pilihan Raya. KPI bagi setiap Ahli-ahli MKT PN pula boleh diselaraskan mengikut fungsi-fungsi dalam persiapan pilihanraya kecil, pilihanraya negeri dan pilihanraya umum, peranan di Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan Dewan Rakyat, atau biro-biro yang berkaitan dengan pilihanraya atau persiapan pilihanraya. Ini jauh lebih berorientasi objektif dan masuk akal berbanding mewujudkan satu organisasi dalam organisasi yang hanya berfungsi untuk ‘berfikir’, ‘membuat cadangan’ dan ‘memantau’.
ISU PERLETAKAN JAWATAN BENDAHARI AGUNG
12. Keempat, tidak sepatutnya Afif sebagai penganalisis dan sebagai orang yang sepatutnya tahu hukum halal dan haram, pahala dan dosa, menjadi lidah pencetus fitnah dengan membuat kenyataan “saya fikir perkara beginilah yang menjadi punca mengapa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN hanya beberapa hari setelah beliau dilantik ke jawatan itu.” Sebagai penganalisis, carilah fakta terlebih dahulu, iaitu penjelasan daripada tuan punya diri sebelum membuat komentar. Sebagai orang Islam, ‘bertabayyun’lah dahulu, sebelum menjadi pemula fitnah yang merosakkan perpaduan sesama Islam. Afif tidak perlu beretorik mengenai perpaduan dan keharmonian dalaman jika sikapnya sendiri tidak mencerminkan sikap seorang Islam yang baik dan menjadi pencetus fitnah apabila menulis komentar. Bagi saya ini tindakan yang tidak bertanggung jawab, berniat jahat dan berdosa kerana mencetuskan fitnah yang merosakkan perpaduan sesama pemimpin dan umat Islam. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang melampau dan mengenakan keburukan serta aib terhadap orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.” – Riwayat Imam Ahmad
13. Bukankah lebih bertanggung jawab jika Afifi mendapatkan penjelasan penuh daripada Dr Samsuri sendiri sebelum menulis? Afif sepatutnya mendapatkan dahulu penjelasan hitam putih daripada Dr Samsuri, adakah dia meletakkan jawatan atas sebab:
i. isu peribadi, atau
ii. kerana dia tidak boleh ‘commit’ dengan tugas dalam PN disebabkan dia juga merupakan MB Terengganu dan ADUN yang perlu sentiasa berada di negeri Terengganu dan kawasannya, tetapi terpaksa pula berulang alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur kerana dia juga merupakan Ahli Parlimen, atau
iii. kerana dia tidak boleh ‘commit’ untuk hadir Mesyuarat MKT PN kerana kesibukan tugas sebagai MB, ADUN dan Ahli Parlimen, atau
iv. kerana dia tidak boleh ‘commit’ untuk mendapatkan dana daripada parti-parti komponen PN dan sumber-sumber lain bagi mengisi tabung pilihan raya dan program PN, atau
v. kerana masalah kesihatan, atau
vi. kerana sebarang isu lain dengan mana-mana Ahli MKT PN termasuk Pengerusi PN
sebelum menulis sesuatu yang bertujuan mewujudkan syak wasangka, perpecahan sesama Islam dan berbaur fitnah.
PERANAN DAN TUGAS BENDAHARI AGUNG
14. Silalah rujuk Perlembagaan PN terlebih dahulu sebelum menulis mengenai tugas Bendahari Agung PN. Dalam Fasal 8.3 (V) Perlembagaan PN, disebut tugas Bendahari adalah “bertanggung jawab ke atas hal-hal kewangan Perikatan Nasional”. Dalam Fasal 17.1 berkaitan Punca Pendapatan, disebut bahawa “punca pendapatan Perikatan Nasional adalah daripada sumbangan Parti-parti Anggota dan juga sumbangan lain yang sah dari segi undang-undang.” Dalam Fasal 17.2 disebut, “Kuasa membelanjakan wang adalah terletak pada Pengerusi dan Bendahari Agung.” Dalam Fasal 17.3 pula disebut, tugas Bendahari Agung adalah “menyimpan buku kira-kira pendapatan dan perbelanjaan, menyediakan penyata kira-kira dan mengemukakan kepada MKT selepas diaudit untuk disahkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.” Pada hemat saya, tugas Bendahari Agung jauh lebih besar daripada hanya sebagai peyimpan kira-kira dan pemeriksa kira-kira. Bendahari Agung perlu juga mendapatkan dana daripada parti-parti komponen dan sumber lain. Kuasa berbelanja juga diletakkan atas bahu bersama Pengerusi dan Bendahari parti yang berbeza, iaitu BERSATU dan Pas, sudah tentu bagi memastikan ketelusan dan tiada penyalah gunaan dana PN. Sepatutnya Afifi bertanya sama ada sebagai Bendahari Agung, adakah Dr Samsuri mempunyai masalah untuk melaksanakan mana-mana bahagian daripada tugasnya seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan PN sehingga mengakibatkan dia meletakkan jawatan. Jika jawapannya ‘tiada masalah’, maksudnya, skop dan amanah tugas Bendahari Agung ini bukan punca dia meletakkan jawatan.
15. Bagi yang faham dan biasa mengetuai organisasi, penjelasan kenapa Dr Samsuri meletak jawatan adalah isu dalaman Pas dan sebab-sebabnya hanya perlu dijelaskan kepada kepimpinan Pas. Pengerusi PN dan Ahli MKT PN tidak perlu mengetahui punca sebenar perletakan jawatan Dr Samsuri kerana jawatan Bendahari Agung adalah jawatan yang disandang oleh Pas. Pas, pada bila-bila masa boleh mencadangkan nama lain kepada Pengerusi PN sebaik sahaja jawatan itu kosong. Bukan suatu keperluan bagi Pengerusi dan ahli MKT PN untuk mengetahui sebab perletakan jawatan Dr Samsuri melainkan jika ia menimbulkan isu besar yang menjejaskan nama baik dan kedudukan PN sebagai parti politik. Sekiranya ia menjadi isu besar kepada PN, lebih-lebih lagi sehingga mengakibatkan orang seperti Afifi menanggung dosa menjadi pencetus fitnah serta kerosakan kepada keharmonian dalam PN dan agenda perpaduan Islam, dan sehingga mengakibatkan musuh-musuh PN dan musuh Islam boleh mengambil kesempatan, maka bagi mengelakkan ini berterusan, kepimpinan Pas boleh membawa isu dan sebab-sebab perletakan jawatan Dr Samsuri kepada pengetahuan Ahli MKT PN dan perkara ini mesti dibincangkan sesama Ahli MKT PN agar penyelesaiannya dapat dicari sesegera mungkin.
16. Adakah perletakan jawatan Dr Samsuri sebagai Bendahari Agung akan mengurangkan representasi Pas dalam MKT PN? Tidak. Jawatan Bendahari Agung adalah jawatan yang disandang oleh pemimpin Pas. Pas boleh mencari seorang pemimpin yang lain untuk mengisi jawatan tersebut, misalnya, Bendahari Pas yang sekarang atau MB-MB negeri yang lain atau sesiapa sahaja untuk menggantikan tempat Dr Samsuri. Ia adalah hak Presiden dan kepimpinan Pas atau sekiranya kepimpinan Pas mempunyai cadangan lain, bolehlah cadangan ini dibawa ke dalam Mesyuarat MKT untuk perbincangan yang lebih mendalam dan bagi mendapatkan konsensus kesemua Ahli MKT PN. Bukankah ini bukti ada ruang rundingan dan konsultasi dalam MKT PN?
KESIMPULAN DAN NASIHAT KEPADA DR. AFIFI
17. Nasihat saya kepada Afifi, buatlah kajian yang mendalam dahulu mengenai organisasi dan Perlembagaan PN sebelum menulis secara melulu dan memberikan cadangan separuh masak yang tidak praktikal, tidak dilaksanakan dan tidak diamalkan oleh organisasi gabungan, campuran atau pakatan politik yang lain seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pakatan Rakyat (PR), PH dan BN.
18. Tindakan melontarkan andaian tidak berasas hanya mencetuskan salah faham dan ketegangan, yang akhirnya memberi peluang kepada musuh politik PN untuk mengambil kesempatan. PN adalah gabungan yang berteraskan rundingan dan kerjasama. Sebarang isu yang timbul perlu diselesaikan melalui saluran rasmi tanpa menjejaskan perpaduan dalam gabungan.