Pelaksanaan e-invois HASiL menuju fasa kedua
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus giat memperkasakan pelaksanaan e-Invois yang akan beralih ke Fasa Kedua bermula pada 1 Januari 2025 di mana akan melibatkan sejumlah 14,000 pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan di antara RM25 juta hingga RM100 juta.
Sehingga 19 Disember 2024, lebih daripada 108.5 juta e-Invois telah berjaya direkodkan melibatkan 8,800 pembayar cukai semenjak pelaksanaan mandatori bermula pada 1 Ogos 2024.
Siri jelajah dan seminar dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan e-Invois kepada kumpulan sasar dan masyarakat umum merupakan salah satu agenda utama HASiL untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Pada kali ini, siri jelajah e-Invois memilih negeri Johor Darul Takzim dengan menyasarkan kepada kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan terlibat dengan Fasa Kedua e-Invois nanti.
Seminar separuh hari ini berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru dan dihadiri seramai hampir 1,000 orang melibatkan penyertaan daripada 490 syarikat dan perniagaan.
HASiL juga telah menerima maklum balas positif berkenaan pelaksanaan e-Invois, di mana sebanyak 35% pembayar cukai yang telah melaksanakan e-Invois secara sukarela terdiri daripada pembayar cukai Fasa Kedua dan Fasa Ketiga.
Penerimaan ini menunjukkan ketersediaan kumpulan ini untuk beralih ke era pendigitalan perniagaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) HASiL dan turut dihadiri oleh Khairul Halimin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) dan
Shifaak Md Amin, Pengarah HASiL Negeri Johor.
Taklimat e-Invois telah disampaikan oleh Dr. Rasyidah Che Rosli, Pengarah Bahagian e-Invois dan taklimat penggunaan portal oleh Jihan Zahiah Johari, Eksekutif HASiL Kanan I Bahagian e-Invois.
Dalam ucapan perasmian, KPE HASiL menyatakan bahawa peralihan sistem e-Invois ini merupakan satu cabaran besar khususnya kepada PKS, namun HASiL yakin dengan kerjasama semua pihak ia akan memberikan impak yang signifikan sekali gus memberikan pulangan kepada sistem percukaian negara.
Beliau menyeru PKS supaya memastikan sistem perakaunan mereka adalah memenuhi spesifikasi e-Invois
bagi tujuan kelancaran validasi e-invois, menyediakan infrastruktur digital yang patuh terhadap peraturan HASiL, menjalankan ujian sistem sebelum pelaksanaan penuh dilakukan dan menyediakan khidmat sokongan teknikal yang mencukupi.
Di samping itu, HASiL juga menyediakan bantuan dan sokongan kepada PKS dalam mematuhi keperluan e-Invois melalui Portal MyInvois dan Aplikasi Mudah Alih MyInvois yang boleh diakses secara percuma.
Portal dan aplikasi mudah alih ini menawarkan ciri-ciri utama untuk memudahkan proses penghantaran e-Invois bagi pembayar cukai seperti penjejakan e-Invois dengan mudah, penyimpanan data yang selamat serta integrasi secara langsung kepada sistem HASiL.
Kemudahan yang disediakan ini membolehkan PKS mengurus penghantaran e-Invois mereka dengan cekap dan mematuhi piawaian peraturan HASiL.
Panduan lengkap serta video panduan pengguna boleh dirujuk di Portal MyInvois (https://www.hasil.gov.my/e- invois/portal-myinvois/video-panduan-pengguna) dan HASiL turut menyediakan khidmat sokongan pelanggan untuk memastikan peralihan fasa e-Invois yang lancar.
PKS yang telah bersedia adalah dialu-alukan untuk melaksanakan e-Invois sebelum garis masa pelaksanaan secara mandatori sepenuhnya pada tahun hadapan.
Diharap dengan pelaksanaan program ini berupaya memberikan manfaat jangka panjang sepenuhnya kepada semua pihak yang akan beralih ke fasa seterusnya dalam menguruskan perniagaan secara strategik dan istematik demi merealisasikan agenda nasional negara.