Jenama tempatan yang bakal dan tersungkur setakat 2024
KITA mungkin pernah dengar jenama Paparich yang tiba-tiba papa kedana. Tiba-tiba sahaja lesap dari muka bumi.
Selain itu banyak lagi jenama tempatan seperti Ayamas, ChaTime dan yang sedang melalui zaman kejatuhan adalah Richiamo.
Yang anehnya ketika jenama antarabangsa diboikot, jenama tempatan pula gagal mengambil kesempatan kerana tidak cukup bersedia dan terlalu selesa.
Kita ambil contoh Richiamo ketika masyarakat memboikot Starbuck, sokongan diberikan kepada Richiamo. Bagaimanapun dek kerana kegagalan pemilik untuk mengekalkan kualiti kini ia memakan diri sendiri.
Kelemahan yang ketara adalah apabila jenama ini terlalu ghairah untuk membuka sebanyak mungkin cawangan, tetapi gagal menguruskan dengan baik ibarat menggali kubur sendiri.
Kegagalan pengurusan stok menjadi situasi semakin buruk kerana hampir kebanyakan menu tidak dapat dijual hingga menyebabkan pelanggan bosan.
Pengurangan jumlah pekerja pula untuk mengurangkan kos menjadikan perkhidmatan semakin buruk menyebabkan pelanggan enggan lagi singgah.
Hanya Zuss yang berjaya mengambil kesempatan itu dan kini ia menjadi pilihan utama dengan disokong oleh teknologi dan pemasaran yang berkesan ia berjaya mengambil-alih tempat Starbuck.
Kini terdapat jenama baharu yang memasuki pasaran dan mereka harus mengkaji mengapa jenama lain melalui zaman suram dan mati secara semulajadi jika tidak mahu mengalami nasib yang sama.
Dalam situasi ekonomi dunia yang rapuh, apa sahaja boleh berlaku. Kesilapan sedikit langkah akan mengundang padah yang berat.
Satu kesilapan model bisnes yang dianuti kerana terlalu percaya dengan cakap jurulatih-jurulatih perniagaan yang kebanyakan mereka sendiri pun tidak mampu berjaya berniaga, kecuali menggunakan modal air liur bercerita dengan perniagaan. Bercerita lebih mudah daripada melaksanakan perniagaan.
Mereka terlalu obses memasarkan diri sendiri, berbanding jenama perniagaan. Kaedah ini pada peringkat awal memang dilihat berjaya, namun lama kelamaan ia merosakkan perniagaan yang dibina.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri contohnya menggunakan model bisnes membina jenama diri dan bukan jenama bisnes terpaksa mengumumkan penutupan wisma terbesar D’Herbs yang terletak di Seksyen 8, Kota Damansara.
Pengasas produk D’Herbs dengan ‘tagline’ terlajak laris itu berkata, dia berasa sedih tetapi apakan daya bangunan itu terpaksa dilepaskan.
Bagi Aliff, banyak kenangannya bersama pekerja di wisma tersebut kerana wisma itu merupakan saksi kepada jatuh bangun perniagaannya.
Dalam perniagaan jatuh bangun perkara biasa, tetapi untuk mengekalkan kejayaan satu perkara yang sukar dan tidak ramai yang mampu melakukannya.
Banyak lagi jenama tempatan sepert usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Vida, gagal melunaskan RM1 juta.
Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga terperangkap dengan situasi tidak menentu ini hingga terpaksa memberi penjelasan lanjut berhubung laporan mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pelaburan minoriti dalam perniagaan fesyen atas talian Malaysia, Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet).
Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula terjebak dengan masalah pelakon Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta agar meminta tampil berbincang dengan agensi itu berhubung bayaran balik pinjaman hampir RM1 juta ($303,531) yang dibuat syarikat milik selebriti itu.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menjelaskan prosedur memfailkan kemuflisan diteruskan berikutan kegagalan pelakon berkenaan melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun, sejak 2017.
Moga 2025 lebih bersahabat dan memberi sinar kepada para pengusaha tempatan.