Ekonomi

Kyndryl Buka Pejabat Baharu di Kuala Lumpur

Kyndryl (NYSE: KD), penyedia perkhidmatan infrastruktur teknologi maklumat (IT) terbesar di dunia, hari ini membuka pejabat baharunya di Kuala Lumpur.

Pencapaian ini menegaskan komitmen Kyndryl terhadap pelanggan tempatannya dan memperkukuh usahanya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab ASEAN bagi pemodenan kerangka utama (mainframe).

Pejabat baharu ini akan menjadi pusat operasi Kyndryl di Malaysia dan menyokong misinya untuk menyumbang kepada ekonomi digital negara.

Kyndryl, iaitu syarikat peneraju global yang inovatif dalam pengendalian dan transformasi sistem IT kritikal misi dunia, melabur dalam pembangunan kemahiran tempatan dan pembinaan keupayaan pelanggan dalam bidang utama seperti automasi, awan, kecerdasan buatan, serta keselamatan dan daya tahan siber.

Syarikat ini telah menjalin perkongsian strategik untuk menyediakan akses kepada pelbagai teknologi dan keupayaan bagi pelanggannya di ASEAN.

Awal tahun ini, Kyndryl melancarkan Pusat Kecemerlangan Pemodenan Kerangka Utama (Mainframe Modernization Center of Excellence, (CoE)) ASEAN yang pertama di Malaysia.

CoE ini yang rata-ratanya dipacu oleh rakyat tempatan Malaysia, memberikan perkhidmatan kepada perniagaan di seluruh ASEAN dengan menawarkan panduan strategik dan kepakaran kerangka utama untuk membantu perusahaan mengemas kini, memodenkan, dan memindahkan aplikasi kerangka utama legasi ke persekitaran asli awan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata: “Keputusan Kyndryl memilih Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan serantau mereka, dan hab ASEAN untuk pemodenan kerangka utama membuktikan landskap pelaburan yang kondusif di Malaysia.

“Jelas sekali, asas negara yang kukuh, infrastruktur digital dan fizikal yang mantap, usaha berterusan untuk mempermudah perjalanan pelabur, serta ketertiban undang-undang telah mewujudkan tawaran nilai yang menarik bagi pelabur global untuk menubuhkan pangkalan operasi mereka di Malaysia.

“Kehadiran Kyndryl juga akan merintis jalan kepada kerjasama strategik dengan syarikat lain, terutamanya PKS Malaysia, dalam ekosistem industri kita, sejajar dengan pencapaian yang disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Kami berharap dapat menyokong pertumbuhan perniagaan Kyndryl dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk menempatkan hab serantau mereka di Malaysia.”

“Saya berasa sangat teruja untuk memimpin Kyndryl Malaysia dalam fasa evolusi yang seterusnya, di samping berusaha untuk membantu pelanggan kami di sini dan di seluruh ASEAN untuk mengendalikan dan mentransformasikan sistem IT kritikal misi mereka,” kata Effendi Azmi Hashim, Pengarah Urusan Negara, Kyndryl Malaysia dan Indonesia.

“Saya berharap dapat menyaksikan pasukan kami  berkembang maju dalam ruang kreatif ini sambil bertumpu untuk mempertingkatkan keupayaan dan kepakaran Kyndryl yang meluas bagi pasaran Malaysia.”

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata: “Kami yakin bahawa pembukaan pejabat baharu Kyndryl mengukuhkan kedudukan Greater Kuala Lumpur sebagai hab teknologi moden yang semakin berkembang.

“Kyndryl membawa kepakarannya kepada perniagaan yang sedang beralih untuk mengoptimumkan aset digital mereka, dengan memberikan tumpuan pada daya tahan siber, penggunaan teknologi awan yang cekap, dan pemanfaatan data untuk kecerdasan buatan (AI).

“Yang paling penting, Kyndryl memacu pembangunan kemahiran digital berkualiti tinggi di kalangan rakyat Malaysia, sekali gus merancakkan landskap teknologi sertra menyumbang kepada pertumbuhan dan transformasi negara.”

Sebagai fasiliti moden yang direka khusus untuk menggalakkan kreativiti dan kerjasama, pejabat baharu Kyndryl menjadi platform bagi Kyndryl menggunakan kepakaran teknologinya bagi menyokong pelanggan dalam  memodenkan, menginovasi, dan mengukuhkan perniagaan mereka. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button