10 Berita Sejarah Paling Menarik 2024
Tahun 2024 bukanlah tahun yang menakjubkan dalam dunia sejarah kerana tumpuan lebih diberikan kepada teknologi kecerdasan buatan, peranti dengan cip berkuasa dan pelaburan berbilion untuk membina pusat data. Tetapi dalam kemarau berita sejarah ini, kami masih mampu mencari 10 berita sejarah paling menarik di Malaysia dan juga luar negara.
1.Patung Buddha Yang Lebih Tua Daripada Angkor Wat dan Candi Borobodur Ditemukan Di Kedah
Kemboja mempunyai kompleks Angkor Wat dan Indonesia pula mempunyai Candi Borobodur. Dua peninggalan sejarah berusia ribuan tahun ini menjadi tarikan pelancong dan memberikan tingkap kepada sejarah leluhur kita. Semalam penyelidik dari Pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) mengumumkan penemuan patung Buddha bersaiz manusia yang dipercayai lebih tua berbanding dua bangunan bersejarah negara jiran ini.
Patung ditemukan di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah dengan ia terletak di dinding utara candi Bukit Choras. Ia diperbuat daripada bahan stucco dengan Buddha dipaparkan dalam kedudukan duduk bersila sedang bermeditasi. Penemuan ini mengesahkan Bukit Choras pernah menjadi tapak keagamaan yang penting pada abad kelapan hingga kesembilan
Penyelidikan dilalukan di Bukit Choras antara 21 April hingga 21 Mei lepas oleh pasukan penyelidik tempatan diketuai Dr Nasha Rodziadi Khaw dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan USM. Kerja penggalian yang dilakukan mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat hingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras. Selain patung Buddha, sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu dan serpihan tembikar tanah turut ditemukan.
2. USM Universiti Pertama Diberikan Akses Digital Eksklusif Surat-Surat Francis Light
Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Penyelidikan Dasar dan Perpustakaan Hamzah Sendut menjadi universiti pertama diberikan hak mengakses imej digital surat-surat Francis Light oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
The Light Letters (1768-1794) ialah himpunan manuskrip, terdiri daripada 1,200 surat dalam 11 jilid yang merangkumi surat menyurat, tulisan dan catatan yang melibatkan raja-raja Melayu dan pembesar-pembesar dari seluruh Kepulauan Melayu, rakan perniagaan, isteri-isteri bangsawan Melayu, Francis. Light, dan beberapa pedagang Inggeris pada asalnya ditulis dalam tempoh 27 tahun antara 1768 hingga 1794.
USM menerima akses digital menerusi persetujuan itu dicapai menerusi memorandum perjanjian Loan of Light Letters yang ditandatangani pada September 2018. Kesemua imej digital The Light Letter kini boleh diakses percuma secara atas talian oleh penyelidik dan orang awam bermula hari ini.
Surat-surat berkenaan yang diletakkan di bawah Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 ialah koleksi manuskrip Melayu terbesar di dunia. Selain surat dokumen lain seperti bil, resit, petisyen dan kontrak turut disertakan sekali.
Selama ini surat-surat ini hanya boleh diakses secara fizikal dengan pergi sendiri ke SOAS yang menyukarkan pengkaji tempatan kerana kos yang tinggi. Kesemua koleksi 11 jilid ini boleh diakses menerusi pautan ini.
3.Artifak Topi Buluh Kenyah Badeng Dipulangkan Ke Sarawak
Sebuah artifak dalam bentuk terendak buluh kaum Kenyah Badeng telah dikembalikan semula ke Sarawak oleh Muzium Pitt Rivers di Oxford, UK pada awal November lalu. Ia merupakan pemulangan objek bersejarah kedua ke Sarawak selepas serpihan tulang Gua Niah ke Muzium Sarawak pada tahun 2020.
Terendak dirampas ketika tentera penjajah British melancarkan serbuan menghukum masyarakat pribumi yang menentang pemerintahan penjajah antara tahun 1895 dan 1896. Ia diperoleh Muzium Pitt Rivers pada 1923 namun ianya tidak pernah dipamerkan secara terbuka.
Walaupun terendak buluh Kenyah Badeng ini telah dipulangkan, Muzium Pitt Rivers masih menyimpan lebih 3000 artifak dari Borneo dengan sebahagiannya adalah koleksi peribadi keluarga Rajah Brooke yang dibeli ketika dekad 1920an.
4. Abjad Dipercayai Tertua Dunia Ditemukan Di Syria
Sejarah penggunaan abjad dalam penulisan manusia mungkin berubah menerusi penemuan sebatang silinder tanah liat dalam sebuah kubur di Tell Umm-el Marra, Syria. Silinder sepanjang jari ini memaparkan 3 abjad yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Menerusi teknik ujian carbon-14, ia dipercayai dihasilkan sekitar 2400 tahun sebelum Masihi yang menjadikannya 500 tahun lebih tua berbanding abjad Proto-Sinaitic yang dipercayai dicipta sekitar 1900 tahun sebelum Masihi.
Batang silinder berusia lebih 4400 tahun ini ditemukan pada tahun 2004 dengan kertas kajian diterbitkan pada tahun 2021. Tetapi kajian yang dilalukan oleh ahli arkeologi dari Johns Hopkins University dan University of Amsterdam hanya mendapat perhatian apabila ia dibentangkan ketika acara American Society of Overseas Research November lalu.
Terdapat empat abjad tertera pada batang silinder dengan terdapat sebuah lubang ditengah-tengahnya. Penyelidik mempunyai hipotesis silinder ini diletakkan pada objek untuk memberitahu apakah barang di dalam balang atau tanda untuk nama pemilik. Maksud perkataan yang dieja oleh abjad ini masih belum diketahui.
5.Lukisan Figuratif Tertua Dunia Berusia 51,2000 Tahun Ditemukan Di Indonesia
Tiga tahun yang lalu, lukisan figuratif tertua dunia telah ditemukan di Sulawesi Indonesia dengan anggaran usianya sekitar 45,500 tahun. Julai lalu pula penemuan lukisan figuratif yang lebih tua telah diumumkan dengan ia dianggarkan berusia sekitar 51,200 tahun. Ini sekaligus mengubah pemahaman kita mengenai bila manusia mula menghasilkan karya seni kreatif.
Lukisan ditemukan di dalam gua yang terletak di Bukit Karampuang, Sulawesi pada tahun 2017 oleh Oki Amrullah, seorang Pengawal Warisan Budaya. Ia terdiri daripada tiga figura manusia memburu babi dengan senjata seakan tombak. Ia memaparkan cerita manusia memburu dan ini adalah berbeza dengan ukiran pada batu serta cetakan tapak tangan yang juga ditemukan pada dinding gua.
Hanya selepas kajian dilakukan oleh Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), usia sebenar lukisan ini berjaya disahkan dengan sampel yang dipotong menggunakan laser.
Jika anda ingin melihat lukisan tertua dunia yang dihasilkan oleh tangan manusia, anda perlu pergi ke Gua Blombos di Afrika Selatan yang dianggarkan berusia 75,000-100,000 tahun. Ia memaparkan corak geometri yang diukir pada permukaan batu. Lukisan figuratif menunjukkan perkembangan manusia dalam bidang seni bermula dari corak asas sebelum menghasilkan lukisan abstrak seperti di Sulawesi.
6.Skrol Purba Herculeneum Berjaya Dibaca Dan Diterjemah Selepas 2000 Tahun
Tahun lalu Cabaran Vesuvius (Vesuvius Challenge) mengumumkan kejayaan membaca ayat-ayat pertama yang terkandung di dalam skrol purba Herculeneum yang terbakar disebabkan letusan gunung berapi Vesuvius. Kota Herculeneum yang terletak bersebelahan Pompeii menjadi lokasi ribuan skrol purba yang terpelihara walaupun tertanam lebih 2000 tahun. Kini Cabaran Vesuvius mengumumkan 15 lajur pertama dari salah satu skrol akhirnya boleh dibaca dan diterjemah.
Bahagian yang diterjemah dipercayai karya ahli falsafah Philodemus mengandungi tulisan mengenai muzik, makanan dan bagaimana untuk menikmati kehidupan. Kejayaan membaca lapisan pertama skrol ini membuka peluang 1800 gulung papirus Herculeneum yang ditemukan pada tahun 1752 turut boleh dibaca. Bahagian yang boleh dibaca setakat ini hanya sekadar 5% keseluruhan satu skrol yang masih bergulung.
Cabaran Vesuvius turut mengumumkan tiga pemenang yang menggunakan teknik pembelajaran mesin dan imbasan bagi membaca skrol yang telah terbakar menjadi arang. Youssef Nader, Luke Farritor, dan Julian Schilliger berkongsi hadiah utama $700,000 kerana menyelesaikan masalah arkeologi yang hampir berusia 300 tahun.
7.Roti Tertua Dunia Berusia 8600 Tahun Ditemukan Di Turkiye
Ahli arkeologi dari Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Sains dan Teknologi Universiti Necmettin Erbakan mengumumkan penemuan roti tertua dunia di Çatalhöyük, Selatan Turkiye pada Mac lalu. Ia dipercayai adalah doh roti yang belum sempat dibakar berusia 8600 tahun.
Selepas dianalisa, penyelidik menemukan bijirin kanji dan ruang kosong di dalam artifak seakan span yang ditemukan di tapak arkeologi. Ini mengesahkan bahawa ia adalah doh roti yang sudahpun menjalani proses fermentasi tetapi belum sempat dibakar. Ia kini disahkan sebagai roti tertua dunia dan menunjukkan bagaimana manusia zaman neolitik menghasilkan roti.
8.Lokasi Kubur dan Saat Akhir Plato Kini Diketahui
Kemampuan membaca Skrol Herculeneum yang kami letakkan di atas menjurus kepada penemuan bukan sahaja lokasi kubur ahli falsafah Plato tetapi juga malam terakhir beliau sebelum meninggal dunia. Skrol yang mengandungi penulisan Philodemus menyatakan Plato dikebumikan dalam sebuah taman khas di akademi yang ditubuhkan beliau di Athens.
Pada malam terakhir beliau mengadu demam tetapi masih sempat mengomel hiburan yang diberikan oleh seorang peniup seruling adalah tidak memuaskan. Ia memberikan gambaran walaupun sedang uzur beliau masih lagi sedar dan tidak mempunyai masalah nyanyuk walaupun berusia sekitar 80 tahun. Terdapat banyak lagi Skrol Herculeneum yang belum dibaca dan penyelidik percaya lebih banyak misteri sejarah baharu akan dapat dirungkai kelak.
9. Sebanyak 303 Garisan Nazca Baharu Ditemukan Dengan Bantuan AI
Sebanyak 303 Garisan Nazca baharu ditemukan di Peru menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan dron. Penyelidik dari University Yamagata menemukan garisan baharu berbentuk burung kakak tua, monyet, paus pembunuh dan juga kucing. Sebelum ini 430 garisan ditemukan dalam masa 100 tahun. Kesemua 303 garisan baharu ini ditemukan AI dalam masa 6 bulan sahaja.
Garisan-garisan baharu di atas permukaan gurun Nazca ini dianggarkan telah dilukis manusia sekitar 200 tahun sebelum Masihi. Ianya juga bersaiz lebih kecil berbanding garisan Nazca lain yang sudah ditemukan oleh Pedro Cieza de León pada tahun 1554. Garisan Nazca telahpun diklasifikasikan sebagai Warisan Dunia oleh UNSECO. Malang sekali statusnya juga sebagai tarikan pelancong ke Peru menyebabkan kerosakan kekal berlaku apabila kenderaan beroda merentasi lukisan yang dilukis.
10.Muzium Mesir Besar Akhirnya Dibuka
Muzium Besar Mesir (Grand Egyptian Museum) ialah muzium arkeologi terbesar dunia dan ia akhirnya membuka pintunya pada Oktober lalu. Pada asalnya pembukaan sepatutnya dilakukan pada tahun 2013 tetapi tertangguh beberapa kali disebabkan oleh isu kos, pergolakan disebabkan oleh Arab Spring dan juga Covid-19.
Muzium ini menelan belanja lebih $1 bilion dan seluas 50 hektar ini menempatkan artifak daripada kesemua dinasti Mesir purba di bawah satu bumbung buat pertama kali dalam sejarah. Walaupun telah dibuka, hanya 4000 pelawat sahaja dibenarkan sehari. Malahan pada ketika ini hanya beberapa dewan pameran dibuka dengan dewan Firaun Tutankhamun yang paling dinantikan peminat sejarah belum lagi dibuka kerana belum lagi siap dibina.
Sumber : Amanz