Nasional
Enam tahun ibu berjuang untuk keadilan – Nooryana Najib
NOORYANA Najwa Najib, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersyukur kerana ibunya dilepaskan dan dibebaskan atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam hantaran di Instagram, Nooryana memberitahu ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, 73, menempuhi dugaan itu dengan tabah.
Malah beliau turut menyifatkan keputusan itu sebagai perjuangan enam tahun ibunya itu.
“Alhamdulillah, rasa sangat lega selepas enam tahun. Dia telah berjuang dalam perjuangannya sendiri untuk keadilan.
“Seterusnya, marilah kita bersabar menunggu 6 Januari (pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum) yang akan datang ini.
“Semoga yang baik-baik lagi akan datang selepas ini,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Rosmah dalam reaksi kepada keputusan itu di Facebook, juga bersyukur.
.
“Syukur Alhamdulillah.. Masya-Allah, Tabarakallah, Alhamdulillah. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahu Mustaan.
“Terima kasih kepada peguam saya, hakim serta semua penyokong yang selama ini mendoakan kemenangan dari Allah ini,” katanya.
Rosmah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.
Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua kes itu.
Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.