Nasional
Pasukan petugas khas bentang laporan penambahbaikan RMT pada 1 Mac 2025 – Fadhlina
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pasukan petugas khas Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan membentangkan laporan penuh mengenai penambahbaikan program tersebut pada 1 Mac 2025.
Katanya, laporan tersebut antara lain bertujuan menilai keberkesanan program RMT termasuk dari segi aspek kos dalam memastikan anak-anak golongan B40 mendapat nutrisi bertepatan dengan keperluan mereka.
“RMT adalah aspek dalam membudayakan pemakanan sihat dalam kalangan anak-anak kita.
“Naratif itu kena tepat dan kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan menu itu memenuhi semua nutrisi dengan dibantu pakar nutrisi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
RMT dilaksanakan sejak 1979 bagi memastikan murid daripada keluarga susah memperoleh khasiat makanan yang diperlukan.