Lan Zailan dikenang sebagai penghibur berhati mulia
JENAZAH pelakon veteran, Allahyarham Lan Zailan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 pada pagi Khamis, dengan cuaca redup mengiringi perjalanan terakhirnya.
Memetik dari Oh Bulan, Anak sulung arwah, Baizura, ketika ditemui selepas pengebumian meluahkan rasa syukur atas kelancaran proses tersebut.
Beliau percaya segala kemudahan yang diberikan adalah hasil daripada kebaikan dan keperibadian arwah bapanya yang disenangi ramai.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dari awal hingga akhir. Cuaca yang redup juga memudahkan urusan. Dari proses memandikan jenazah, menguruskan masjid hingga ke kubur, segalanya dipermudahkan Allah SWT,” kata Baizura.
Baizura turut berkongsi bagaimana arwah sering membuat orang di sekelilingnya gembira.
“Arwah di set suka buat orang ketawa. Kawan-kawan rapatnya sering menyebut betapa baiknya arwah. Semalam, abang Ako Mustapha datang dan berkata perkara sama, walaupun mereka jarang berlakon bersama,” katanya.
Menurut Baizura, arwah juga seorang bapa yang fleksibel dan sentiasa menyokong keputusan anak-anaknya.
“Walaupun dia seorang penghibur, sebagai bapa, dia sangat memahami dan menyokong apa saja keputusan kami adik-beradik.”
Kesempatan Bersama di Saat Akhir
Tambah Baizura, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk meluangkan masa bersama arwah bapanya sebelum pemergiannya.
“Alhamdulillah, kami adik-beradik dapat berkumpul dan berada di sisinya sehingga nafas terakhirnya. Doktor pernah memberitahu kami bahawa arwah mungkin bertahan tiga bulan, tetapi kami bersyukur dengan tiga hari terakhir bersamanya.”
Menurutnya, keluarga sudah reda dengan ketentuan Allah dan menerima segala ujian dengan hati terbuka.
“Kami tahu keadaannya dan sentiasa berdoa agar segala urusan dipermudahkan. Arwah pun seolah-olah melepaskan kami dengan tenang.”
Penghormatan Terakhir
Jenazah Allahyarham Lan Zailan atau nama sebenarnya Zailan Kamarudin selamat dikebumikan sekitar jam 11.25 pagi. Antara rakan artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Riezman Khuzaimi, Zila Bakarin, Sheila Mambo, dan Liza Abdullah.
Sebelum itu, jenazah dimandikan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disolatkan di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.
Perjuangan Melawan Kanser
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di PPUM pada jam 4.24 pagi Khamis akibat kanser pankreas tahap empat yang dihidapinya. Beliau dimasukkan ke hospital sejak Ahad selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
Arwah mula menjalani rawatan sejak 27 November lalu namun dibenarkan pulang pada Sabtu sebelum dimasukkan semula ke hospital atas permintaan sendiri.
Semoga roh Allahyarham Lan Zailan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah. – SM