Tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mahu melakukan siasatan terhadap perolehan kereta api elektrik oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion tidak wajar kerana tiada sebarang kontrak ditanda tangan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau tidak faham apa yang PAC) mahu siasat kerana kontrak pun belum dimeterai.
Oleh itu katanya, tiada apa yang perlu mereka siasat kerana ia masih di peringkat perancangan.
“Ia masih belum ditandatangani seperti yang telah saya nyatakan di Parlimen berkali-kali,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) di Putrajaya hari ini.
Pada 12 Disember lalu Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan akan memulakan prosiding lima isu baharu pada sidang Dewan Rakyat akan datang antaranya perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion, prosiding pengurusan lapangan terbang, pelaburan domestik Khazanah Nasional Bhd dan pembangunan tanah Kuala Lumpur.
Pada 14 Ogos lalu, Anthony Loke dipetik sebagai berkata Kementerian Pengangkutan membuat keputusan untuk melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian KTMB dengan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dengan China.
Beliau berkata strategi tersebut dibuat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, dengan fasa satu bermula dari 2024 hingga 2027dan menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu.
Penambahan sebanyak 62 set tren penumpang dalam Fasa 1 merangkumi 36 set three car set (3CS) Electric Multiple Unit (EMU); 12 set Six Car Set Electric Multiple Unit (EMU); serta 14 set Six Car Set (6CS) Diesel Multiple Unit (DMU).
Kos pajakan merangkumi semua tahap penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih oleh entiti yang membekalkan tren untuk tempoh pajakan.
“Penyelenggaraan berjadual yang dilaksanakan secara berstruktur oleh syarikat-syarikat original equipment manufacturer (OEM) akan memastikan ketersediaan dan kebolehupayaan set tren pada tahap yang cemerlang,” kata Loke. – SM