Nasional
KKDW komited pastikan infrastruktur asas luar bandar mencukupi
KERAJAAN sentiasa memantau kecukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.
Pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu beliau berkata, usaha itu dilaksana dengan mengambil input daripada sistem pemantauan projek dalaman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta MyProject yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“KKDW juga menggunakan data-data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia seperti laporan survei kemudahan asas, My Local Stats, serta Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMS).
“Data-data tersebut dijadikan sebagai panduan utama dalam mengukur tahap keberkesanan program dan projek yang dilaksanakan di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan seorang anggota dewan yang ingin mengetahui mengenai trend migrasi penduduk dari desa ke bandar serta penilaian kecukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar.
Sementara itu menurut Rubiah, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) turut menjadi panduan dalam melaksanakan pembangunan luar bandar melalui pendekatan yang lebih holistik merangkumi peningkatan infrastruktur, pengembangan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pemberdayaan komuniti.
“Setiap tahun KKDW akan mengadakan bengkel bagi memberi fokus dalam merangka perancangan setiap tahun.
“Jika tahun depan, kita sudah bermula pada Januari kerana walaupun bajet telah diluluskan, fokus-fokus tertentu perlu diambil kira agar setiap projek yang dijalankan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat luar bandar,” katanya. –SM