Jelajah Peduli Ummah satukan komuniti bantu mangsa pasca banjir Maahad Tarbiah Islamiah Derang
SATU lagi usaha murni dalam meringankan beban mangsa banjir telah dilaksanakan pmelalui Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah pada Ahad yang memberi fokus kepada Maahad Tarbiah Islamiah Derang, salah satu institusi pendidikan yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda baru-baru ini.
Paras air banjir yang dilaporkan mencapai tahap bumbung telah menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan maahad dan kawasan sekitarnya, memberikan kesan yang amat mendalam kepada pihak pengurusan dan para pelajar.
Jelajah Peduli Ummah ini dianjurkan oleh MAPIM Malaysia bersama rakan strategiknya Zus Coffee dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), serta mendapat sokongan penuh daripada JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia.
Aktiviti pembersihan pasca banjir di Maahad Tarbiah Islamiah Derang telah dilaksanakan dengan penuh semangat, berkampung bersama-sama di Derang bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas.
Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mohd, turut hadir bersama-sama dengan ketua dan wakil dari 14 agensi di bawah kementerian, berganding bahu dengan petugas, penduduk setempat, dan NGO tempatan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada semua pihak terjejas.
Semasa lawatan tersebut, pelbagai aktiviti dilakukan untuk membantu meringankan beban penduduk. Antara aktiviti utama adalah gotong-royong pembersihan surau maahad yang masih berlumpur. Kerja-kerja pembersihan ini dilakukan bersama ketua agensi di bawah JPM (HEA), NGO tempatan, dan penduduk setempat.
Selain itu, satu sesi santunan juga diadakan dengan para guru maahad yang rumah mereka turut dilanda banjir. Bantuan kemanusiaan disampaikan kepada penduduk di mukim Derang yang terjejas, bagi meringankan beban mereka.
MAPIM Mobile Kitchen turut memainkan peranan penting dengan menyediakan makanan panas kepada petugas dan penduduk sekitar yang memerlukan. Saringan perubatan percuma oleh MAIWP MAPIM Double Decker Mobile Clinic juga diadakan, di mana lebih
80 orang penduduk menerima rawatan. Selain itu, semua pihak turut bersama-sama membersihkan kawasan Maahad yang terjejas oleh banjir, dengan penuh keikhlasan dan semangat kebersamaan.
Menurut Datuk Sani Araby, CEO MAPIM Malaysia, “Kami bersyukur kerana dapat turun padang bersama-sama rakan strategik dan masyarakat setempat dalam usaha pembersihan pasca banjir ini. Keprihatinan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak menunjukkan bahawa kasih sayang sesama umat Islam adalah satu nilai yang amat penting dalam menghadapi ujian sebegini. Kami berharap agar usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas dan membantu memulihkan semangat penduduk Derang untuk terus bangkit dan melangkah ke hadapan.”
Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir, tetapi juga untuk menguatkan ikatan perpaduan dan kasih sayang sesama insan. Diharapkan agar segala usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat.
“Kami memohon doa agar segala urusan dipermudahkan dan diberikan kekuatan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha murni ini” ujar Sani lagi.
MAPIM Malaysia mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan berharap program ini dapat memperkukuhkan hubungan silaturrahim serta menyemarakkan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat setempat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi sekretariat MAPIM di talian 012 800 2016. –SM