Nasional

Kementerian Kesihatan kaji kaedah penggiliran untuk atasi kekurangan tenaga kerja

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian berkaitan kaedah penggiliran kakitangan perubatan sebagai usaha menangani krisis kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni di Dewan Negara pada Rabu berkata, pelaksanaan kaedah penggiliran ini bagi memastikan pegawai KKM tidak tertekan sehingga boleh menjejaskan kesihatan mental mereka selain bertujuan menambah baik sistem penempatan pegawai perubatan.

“Sebagai contoh, sekiranya pegawai perubatan ditempatkan di Miri dan ditugaskan di Long Semado atau Long Bemang di Baram, kita tidak akan membiarkan mereka tinggal di kawasan tersebut dalam tempoh yang sangat panjang.

“Sebaliknya, kita akan menggunakan kaedah penggiliran,” katanya dipetik sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai isu kekurangan doktor di kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain.

Berdasarkan analisis data perjawatan dan pengisian di KKM setakat 30 Sept lepas, seramai 299,672 petugas kesihatan sedang berkhidmat meliputi 266,898 petugas kesihatan lantikan tetap dan 32,774 adalah petugas kesihatan lantikan kontrak.

Daripada jumlah itu, seramai 7,720 pegawai adalah Pakar Perubatan, diikuti 44,030 Pegawai Perubatan, seramai 7,626 Pegawai Pergigian, 12,775 Pegawai Farmasi, 70,075 jururawat dan 19,798 lagi adalah Penolong Pegawai Perubatan serta bakinya adalah anggota daripada skim perkhidmatan lain.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button