Ekonomi

Bank Rakyat, Cenergi jalin kerjasama strategik pasang solar

Bank Rakyat hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) untuk melaksanakan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung di 84 cawangan Bank Rakyat yang bersesuaian di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif korporat kedua-dua pihak bagi mendukung aspirasi Pelan Peralihan Tenaga Negara ke arah peningkatan penjanaan tenaga daripada sumber boleh baharu kepada 31% dan 40% menjelang tahun 2025 dan 2030.

Program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM) ini selaras dengan usaha negara untuk peralihan tenaga bersih dan mencerminkan komitmen Bank Rakyat terhadap kelestarian alam sekitar.

Projek ini menjadikan Bank Rakyat sebagai institusi kewangan pertama yang memasang solar PV bumbung di Malaysia bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sendiri.

Projek ini turut selari dengan matlamat jangka panjang Bank Rakyat untuk menjadi sebuah institusi kewangan neutral karbon melalui inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui dan selebihnya menerusi projek-projek ofset karbon (carbon offset).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi/Menanggung Kerja Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan, Nor Haimee Zakaria berkata, “Dengan kerjasama ini, kami bukan sahaja mengambil langkah besar dalam memastikan kelestarian tenaga di bangunan milik Bank Rakyat tetapi juga menyumbang ke arah aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050.

Tambah beliau, inisiatif ini akan memberi impak bukan sahaja kepada Bank Rakyat tetapi juga kepada sektor kewangan dan masyarakat secara keseluruhan seiring dengan pelan strategik BR25 yang meletakkan kelestarian sebagai salah satu teras utama kami.

Mengulas dengan lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, “Cenergi amat berbesar hati untuk berkongsi kepakaran kami dalam sektor tenaga lestari serta membantu merealisasikan matlamat jangka panjang Bank Rakyat untuk menjadi insitusi kewangan neutral karbon di Malaysia.

Inisiatif ini akan membolehkan cawangan Bank Rakyat yang terlibat mengurangkan pembelian tenaga daripada grid sehingga 4,000 MWh setahun dan pengurangan jejak karbon sebanyak 3,096 tan setahun, bersamaan dengan penanaman 51,000 pokok.”

“Bermula seawal pertengahan tahun hadapan, Bank Rakyat dijangka mampu menjimatkan kos penggunaan elektrik di cawangan yang terbabit sehingga RM15 Juta untuk tempoh 25 tahun akan datang,” jelas Hairol Azizi Tajudin.

Cenergi, anak syarikat kepada UEM Lestra Berhad merupakan peneraju dalam penyelesaian tenaga lestari yang berfokus kepada pengurangan pelepasan karbon melalui pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.

Menerusi kerjasama ini, Cenergi juga akan menjalankan audit tenaga serta memasang sistem pengumpulan dan penggunaan air hujan dan pengecasan kenderaan elektrik di Menara Kembar Bank Rakyat.

Ini bagi menyokong pelan Bank Rakyat untuk mencapai pensijilan Bangunan Hijau (GBI) di Menara Kembar Bank Rakyat.

Kerjasama ini memperkukuhkan komitmen Bank Rakyat terhadap kelestarian alam sekitar selaras dengan dasar Bank Negara Malaysia melalui Climate Risk Management and Sustainable Practices yang menggariskan keperluan bagi institusi kewangan untuk mengenal pasti peluang dalam ekonomi rendah karbon.

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button