Nasional

Balai Seni Negara Perkasa Kreativiti Generasi Muda Melalui Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetus Bakat Mahasiswa dan Young Art Enterepreneurs (YAE!)

Balai Seni Negara hari ini merasmikan Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dan Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur. Majlis dirasmikan oleh YBrs. Tuan Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) di GMBB, Kuala Lumpur. Beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada peserta bagi kedua- dua program.

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, YBrs. Puan Lim Ying Hui, Pengurus Besar GMBB, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi, wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta para penggiat seni.

Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa

Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa adalah inisiatif Balai Seni Negara yang bertujuan mengangkat seni sebagai medium untuk memelihara dan menghayati warisan sastera, sekaligus memperkukuh identiti budaya negara. Program ini tercetus daripada seruan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang menyeru masyarakat untuk bersama-sama menghargai naskhah sastera sebagai alat pendidikan, pembangunan jati diri, dan pengukuhan nilai kemanusiaan.

Para dif kehormat bersama penyelaras program dan 17 peserta Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur.

Selain itu, program ini juga bertujuan mendorong generasi muda untuk lebih terlibat dalam bidang sastera sambil menjadikan sastera sebagai wadah penyatuan pelbagai lapisan masyarakat. Usaha ini adalah langkah penting dalam memperkasa budaya dan seni tanah air agar terus relevan dan dihargai oleh semua pihak.

Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa berjaya menarik penyertaan daripada 13 institusi pengajian tinggi, termasuk IPTA dan IPTS. Menerusi program ini, sebanyak 142 karya telah dihasilkan, terdiri daripada 123 karya catan, 11 karya arca, dan 8 video. Antara yang terlibat adalah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Institusi lain yang turut serta ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang, dan UiTM Cawangan Sarawak. Tidak ketinggalan, Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) dan Taylor’s College.

Program ini memberi tumpuan kepada penghasilan karya seni visual yang diinspirasi daripada naskhah agung sastera seperti novel klasik dan cerpen karya sasterawan terkemuka. Ia bermatlamat mempromosikan bidang seni dan sastera secara serentak, serta menggalakkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam mempersembahkan interpretasi seni yang mendalam.

Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur

Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) kohort ke-10 menampilkan 17 peserta dengan tema ‘Generation: Artpreneur’, yang menggabungkan seni (art) dan keusahawanan (entrepreneur) sebagai aspirasi kepada generasi muda yang kreatif dan inovatif. Tema ini mencerminkan pendekatan segar dalam usaha melahirkan usahawan seni yang berdaya saing. Sebagai sebahagian daripada program, sesi Business Pitching oleh para peserta turut diadakan hari ini.

YAE! dianjurkan sejak tahun 2017 yang bertujuan untuk memberi persediaan kepada penggiat seni muda dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri‐ ciri keusahawanan. Sehingga kini, program ini telah melahirkan seramai 155 orang usahawan seni.

Sepanjang pelaksanaannya, para peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina

Business Model Canvas’ yang betul. Para peserta juga dilatih untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka mengikut kesesuaian pasaran seni dengan bimbingan pakar keusahawanan serta pakar industri. YAE! bukan sahaja mampu membentuk para penggiat seni muda untuk menjadi usahawan yang kreatif dan berjaya, malah dilihat mampu untuk memperkasa ekonomi negara melalui penjualan produk seni yang dihasilkan.

Barisan kurator dan penyelaras daripada 13 IPTA serta IPTS bagi Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa.

Memasuki kohort ke-10, program ini memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama strategik dengan syarikat swasta, rakan pelukis, dan organisasi yang bersesuaian untuk mengukuhkan penghasilan produk seni serta perkhidmatan yang berkualiti. Peserta YAE! telah berjaya membentuk kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak seperti MAKERZ, Hikari Raiders, Tiffin Jeiwa, PETRONAS Young Professionals Club (YPC) dan pelukis terkenal, Kupeh Rodriguez.

Kolaborasi ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai produk seni, memperluas peluang pemasaran, dan membina rangkaian profesional yang kukuh. Langkah ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan ekosistem seni tempatan serta membuka laluan untuk perkembangan industri yang lebih dinamik.

Memperkasa Kreativiti Generasi Muda

Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dipamerkan bermula 14 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025 di GMBB, Kuala Lumpur. Manakala, pameran akhir Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur berlangsung bermula pada 14 hingga 22 Disember 2024 di lokasi sama.

Kedua-dua program ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan seni malah turut membuka peluang untuk penghayatan sastera, sekali gus menjadi platform yang signifikan dalam memperkasa kreativiti generasi muda. Program ini juga menyediakan ruang untuk mereka menjana idea baharu, menghasilkan karya dan produk bermutu tinggi, serta membina jenama yang kukuh dalam ekosistem seni.

Dalam pada itu, Balai Seni Negara mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama pihak GMBB melalui penajaan lokasi dan sokongan yang berterusan terhadap program-program anjuran Balai Seni Negara.

Orang ramai dijemput hadir ke GMBB, Kuala Lumpur untuk menghayati keindahan seni dan sastera menerusi Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa, serta melawat pameran akhir Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur, yang menampilkan produk seni daripada generasi muda yang berbakat. Pameran dibuka setiap hari, bermula jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam. Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button