Ekonomi

MOSTI umum startup ASEAN, rapatkan jurang ekosistem serantau

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi fokal ekosistem startup Malaysia, hari ini mengumumkan Startup ASEAN, sebuah platform inovatif yang bertujuan untuk mengangkat Negara-Negara Anggota ASEAN sebagai pemain utama dalam landskap startup global.

Dalam persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, Cradle telah diberi mandat untuk mengetuai ASEAN Startup Initiative (ASI) di bawah ASEAN Technology Startup Ignite. Inisiatif ini menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh ekosistem startup serantau selaras dengan Priority Economic Deliverables (PEDs) 2025 negara bagi bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Inisiatif ini memfokuskan kepada pemerkasaan dasar mesra startup, meningkatkan kesiapsiagaan ekosistem di seluruh Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) serta memacu kolaborasi berimpak tinggi untuk mewujudkan kerjasama dan sinergi bermakna dalam rantau ini.

Inisiatif pertama di bawah ASEAN Technology Startup Ignite adalah sebuah platform yang dicipta khusus oleh pasukan petugas khas daripada kesemua sepuluh (10) Negara-Negara Anggota ASEAN: Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), menyampaikan ucaptama beliau semasa Sesi Kepimpinan 2 di Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024. Ucapan beliau, bertajuk “Memacu Transformasi Digital dan Inovasi: Kepentingan AI di Malaysia dan China,” menekankan kepentingan kerjasama dua hala dalam memajukan teknologi AI.

YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri MOSTI, menegaskan, “Startup ASEAN dicipta untuk mempromosi dan memudahkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam ekosistem startup ASEAN serta berfungsi sebagai pintu masuk kepada komuniti startup ASEAN yang dinamik. Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk memperkasakan usahawan, menghubungkan inovator dan membina ekosistem yang mampan demi memacu pertumbuhan serta inovasi serantau.

Startup ASEAN bukan sekadar sebuah platform digital; ia adalah bukti komitmen kolektif kita dalam memupuk inovasi, memperkukuh kerjasama dan membina asas utama bagi kemajuan teknologi,” tambah YB Chang.

Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, berkata, “Sebagai agensi fokal ekosistem startup Malaysia, Cradle amat berbangga untuk mengetuai Startup ASEAN. Platform ini bukan sahaja berfungsi sebagai hab tetapi juga pemangkin kerjasama dan inovasi serantau untuk mendorong perkembangan startup dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ini.

Melalui pendekatan berfasa, Cradle akan memperkenalkan program dinamik termasuk hackathon serantau yang menyasarkan sektor deep tech seperti Kecerdasan Buatan (AI), kelestarian dan teknologi iklim. Selain itu, Startup ASEAN Summit yang dijadualkan tahun hadapan akan menonjolkan inovasi serantau serta membuka pasaran baharu untuk startup,” tambah Norman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke (kanan), mempersembahkan platform Startup ASEAN kepada YB Tuan Chang Lih Kang (kiri), semasa lawatan beliau ke reruai pameran Cradle di Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024.

“Penubuhan Startup ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN 2025 merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem startup serantau yang kini mempunyai lebih 11,000 startup dan nilai ekosistem sebanyak AS$131.2 bilion. Dengan KDNK ASEAN dijangka mencecah AS$4.5 trilion menjelang tahun 2030, rantau ini kekal sebagai hab inovasi yang dinamik, menawarkan peluang besar kepada startup dan pelabur,” kata TYT Satvinder Singh, Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Startup ASEAN bakal memainkan peranan penting dalam menghubungkan startup teknologi di seluruh rantau ini, memperkasakan pengasas, memperkayakan ekosistem dan merapatkan rangkaian tempatan serta global ASEAN dengan sokongan penuh daripada kesemua 10 negara anggota,” ujar Dr. Kanchana Wanichkorn, Pengarah Sectoral Development Directorate untuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Menjelang pelancaran rasminya pada Suku Kedua 2025, Startup ASEAN kini mengundang startup dan rakan ekosistem dari seluruh negara ASEAN untuk menyertai platform ini. Usahawan boleh mengemukakan minat mereka di www.startup-asean.org dan menjadi sebahagian daripada lonjakan inovasi masa hadapan di rantau ini.

Prapelancaran Startup ASEAN telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang semasa Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024, disaksikan oleh pihak berkepentingan utama daripada ekosistem startup.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button