Nasional

Tiada rakyat Malaysia yang berhak dihina seperti itu. Paling dia ialah balu seorang wira yang terkorban demi negara

Seorang ahli akademik melahirkan rasa sedih yang mendalam apabila balu dan waris anggota polis yang pernah terlibat dalam operasi mempertahankan kedaulatan negara daripada penceroboh Sulu kini berdepan dengan pengusiran di Semporna, Sabah.

Kata Tajuddin Mohd Rasdi pada 2013, anggota keselamatan terbabit, Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon menggadaikan nyawanya demi negara.

Namun katanya selepas 11 tahun kemudian balu Abd Azis, Siti Bandorah Mahalil dan anak-anak mereka mahu dihalau dari rumah mereka di perkampungan air Pulau Bodgaya.

Langkah itu diambil kerana mereka serta penduduk di petempatan terbabit didakwa menceroboh kawasan Taman Laun Tun Sakaran.

Notis pengusiran tersebut dikeluarkan oleh Taman-Taman Sabah (Sabah Parks).

“Tiada rakyat Malaysia yang berhak dihina seperti itu. Paling dia ialah balu seorang wira yang terkorban demi negara,” kata profesor seni bina itu kepada Malaysiakini.

Tajuddin yang arwah bapanya pernah berkhidmat sebagai pegawai polis mendedahkan, dia telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, yang berjanji untuk meneliti perkara itu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan rumah Siti Bandorah di Kampung Alab – sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya – adalah antara kawasan yang ditanda untuk dirobohkan.

Dia juga mendakwa anggota polis memarahinya di hadapan anak-anak menyebabkan dia berasa sangat kecewa kerana sebelum ini pernah memandang tinggi pasukan keselamatan berkenaan.

Kata Tajuddin, sebagai anak kepada pegawai polis, dia masih ingat bagaimana dia teruja menunggu ayahnya pulang hari-hari namun pada masa sama ibunya pula sentiasa kebimbangan kerana memikirkan keselamatan suaminya.

“Sebagai seorang budak lelaki, saya tertanya-tanya jenis pistol yang akan dibawanya balik,” katanya.

Tambah Tajuddin, keluarganya lebih bernasib baik berbanding Siti Bandorah.

“Suaminya pergi bekerja tetapi kembali dalam keadaan tidak bernyawa.

“Kini, di sebalik pengorbanannya, rumah yang menaungi keluarga mereka berdepan dengan perobohan,” katanya.

Tajuddin juga berkongsi bagaimana dia yang bersemangat pada awalnya kerana mendapat jemputan ke acara Persekutuan Kristian Malaysia di gereja Full Gospel Tabernacle di Petaling Jaya, merosot apabila membaca tentang pengalaman pahit yang dialami Siti Bandorah.

“Hati saya sangat sayu. Saya tak berasa betul sebagai rakyat Malaysia, Muslim atau manusia mengetahui dia diperlakukan sedemikian.

“Kita sepatutnya menjadi penjaga mereka. Kita harus menghormati ingatan dan semangat arwah suaminya, seorang wira yang berkorban untuk negara.

“Sekiranya ada masa yang sesuai untuk menunjukkan sifat kemanusiaan dan semangat kenegaraan, masa itu ialah sekarang.

“Tuhan membawa kisah penderitaan keluarga itu kepada perhatian kita pada masa Krismas ini.

“Mari kita doakan dia dan keluarga dijauhkan daripada kesusahan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button