Nasional

Kerajaan Madani pastikan kemampanan, keterjaminan makanan negara

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 yang bersidang pada 17 Disember 2024 mengetengahkan aspirasi Kerajaan dalam merangka dasar dan strategi keterjaminan makanan yang lebih berdaya saing dan mampan bagi memastikan tahap keterjaminan makanan negara kekal stabil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mesyuarat JKKMN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya. antara kertas yang diteliti termasuklah hasil dapatan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai aspek pengeluaran serta tadbir urus industri padi dan beras.

Berdasarkan syor dari MyCC, mesyuarat telah meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengkaji mekanisme kawalan percampuran beras putih tempatan dan beras putih import beserta
simulasi harga.

Bagi membantu pesawah serta industri padi dan beras, KPKM juga telah diminta untuk mengkaji bentuk bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepada golongan ini bagi menyerap kesan kenaikan kos pengeluaran padi dan beras.

Kajian-kajian ini hendaklah disediakan secara komprehensif dan dibentangkan ke kabinet pada bulan Januari 2025.

Di samping itu, mesyuarat juga telah meneliti kertas berkenaan mekanisme subsidi telur ayam dan kesannya kepada industri.

Satu sesi libat urus bersama pemain industri juga akan diadakan bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan subsidi telur ayam.

Mesyuarat turut bersetuju agar inisiatif berkaitan industri padi dan beras serta telur dilaksanakan segera bagi memastikan kemampanan industri serta ketersediaan bekalan komoditi makanan tersebut sentiasa terjamin.

KPKM komited untuk memastikan keputusan yang diambil, akan memberikan keseimbangan dan tidak akan membebankan rakyat serta industri, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu KeMampanan,
KesejAhteraan dan Ihsan.

Mesyuarat menyeru agar semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara agar lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button