Gagal bayar gaji 7 bulan, 8 kertas siasatan terhadap Kawaguchi Manufacturing
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membuka lapan kertas siasatan terhadap syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd dan penyedia penginapan atas kesalahan lewat membayar gaji selain penginapan tidak mempunyai perakuan.
JTK dalam kenyataan berkata, tuntutan kes buruh dibuat pada bulan lalu melibatkan 57 pekerja warga Bangladesh terhadap pihak syarikat berjumlah RM806,310.00.
“Kemudian satu rundingan melibatkan JTK, wakil Kedutaan Bangladesh dan pihak syarikat telah diadakan pada 14 Dis tetapi menemui jalan buntu.
“Pihak syarikat mengemukakan cadangan bayaran gaji tertunggak (tujuh bulan) kepada pekerja secara ansuran hingga September tahun depan tetapi mendapat bantahan daripada pihak pekerja yang bertegas menuntut gaji mereka dibayar penuh hujung tahun ini,” katanya.
Pada 14 Dis, kira-kira 220 pekerja dari Bangladesh mengadakan protes di luar kilang Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd di Pelabuhan Klang, yang menuntut tunggakan gaji selama tujuh bulan.
Sebelum ini, media melaporkan aktivis hak asasi migran Andy Hall mendedahkan sebuah kilang yang membekalkan komponen kepada syarikat elektronik utama didakwa tidak membayar gaji pekerja sejak Mei.
Pendedahan aktivis itu berdasarkan temu bual dengan tujuh pekerja Bangladesh yang memperincikan dakwaan mereka dipaksa bekerja hingga 12 jam sehari.
JTK berkata, perbincangan lanjut akan diadakan hari ini berkenaan proses pertukaran dengan majikan baharu yang akan ditentukan kemudian bawah program pertukaran majikan khas (PTM).
“Program ini melibatkan seramai 204 pekerja asing yang mempunyai permit sah. JTK akan memastikan isu dihadapi oleh pekerja syarikat ditangani seadilnya dan kebajikan pekerja ini terbela,” katanya.