Berita Auto

PM Anwar rasmi Proton e.MAS 7, jadi kenderaan rasmi ASEAN 2025

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan secara rasmi kenderaan elektrik (EV) pertama, e.MAS 7.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada Isnin.

Bangga dengan kejayaan dilakar Proton sehingga ke tahap ini, Anwar memaklumkan e.MAS 7 akan menjadi kenderaan rasmi ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

“Untuk ASEAN tahun depan, e.MAS7 akan jadi kenderaan rasmi kita. Kita mahu dan harapkan ia dapat mempromosi kemampuan kita menghasilkan kereta elektrik bermutu.

“Setinggi kesyukuran kerana kita catat sejarah gemilang bukan sahaja angkat martabat Proton dan Geely tapi imej keupayaan negara terutama rakyat Malaysia dalam menghasilkan kejayaan ini,” katanya.

Beliau turut mengimbas kembali pasang surut yang perlu ditempuh Proton sebelum ini dengan menyifatkan kejayaan hari ini hasil pengajaran yang telah diperbaiki.

“Seperti mana saya pernah katakan dulu bahawa Proton ada sejarah gemilang. Ia diasaskan semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri (keempat), ada pasang surut yang mencabar.

“Namun pengajaran kita peroleh ialah kita harus akui bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk beri bantuan dan kerjasama, tidak masuk campur dan bebaskan mereka dengan penyelidikan, latihan dan tatakelola ke tahap lebih baik,” katanya.

Harga bagi e.MAS7 akan diumumkan selepas sesi perincian spesifikasi teknologi kenderaan itu sebentar lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button