UPSI bina wakaf untuk kegunaan pembelajaran mahasiswa
TANJUNG MALIM 16 Dis. – Wakaf Melayu boleh dijadikan ruang pembelajaran untuk kelestarian budaya tinggi.
Pengarah Institut Peradaban Melayu ( IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata wakaf Melayu bukan sekadar struktur fizikal dalam landskap tradisional, malah menjadi simbol falsafah kehidupan masyarakat Melayu yang mengutamakan ilmu, kebersamaan, dan kelestarian alam.
Dalam sejarah peradaban Melayu, katanya, wakaf menjadi ruang pembelajaran yang menyemai budaya tnggi dan kini berpotensi untuk dimodenkan selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, katanya, wakaf memainkan peranan penting sebagai pusat pembelajaran yang berfungsi sebagai tempat anak-anak kampung belajar mengaji al-Quran.
Belia berkata sarjana Syed Muhammad Naquib al-Attas menganggap wakaf sebagai ruang intelektual yang membentuk pemikiran keilmuan masyarakat Melayu.
Pof Tajul Shuhaizam berkata terdapat kajian lain yang mengaitkan wakaf dengan pembangunan ilmu praktikal seperti keusahawanan dan pertanian.
Beliau berkata ada sarjana menyebut wakaf sebagai tempat perbincangan komuniti, selain mencadangkan potensi wakaf moden sebagai ruang pembelajaran ekologi untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan alam.
Katanya kelestarian alam melalui wakaf adalah elemen alam yang sering menjadi sebahagian daripada falsafah wakaf Melayu dan wakaf tradisional sering dibina berhampiran pohon besar, sungai, atau kawasan lapang.
“Konsep ini mencerminkan keharmonian antara manusia dan alam, selaras dengan budaya Melayu yang menghormati keseimbangan ekologi, ” katanya.
Dalam era moden, pendekatan lestari dapat diterapkan melalui penggunaan bahan binaan mesra alam, tenaga solar, dan aktiviti pemuliharaan alam.
UPSI kini menjadikan wakaf sebagai ruang pembelajaran dan kelestarian alam apabila projek Laman
Warisan Melayu siap dibina terletak di halaman bangunan Institut Peradaban Melayu (IPM) yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Beliau berkata IPM UPSI akan melaksanakan inisiatif menanam padi huma dalam polibeg di Laman Warisan Melayu pada tahun 2025, dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Projek ini, katanya, bukan sahaja bertujuan memelihara spesies tumbuhan warisan Melayu tetapi juga mendidik masyarakat tentang pentingnya pemeliharaan biodiversiti.