Acara

“RIUH CERIA, DUNIA KITA” WARNAI HARI KANAK-KANAK PERLIS 2024

 

Kangar, 16 Disember 2024 – Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar menjadi lokasi penuh keceriaan dengan penganjuran Hari Kanak-Kanak Perlis 2024 anjuran CHILD (Children’s Industry Lifelong Learning and Development Hub) dengan kerjasama strategik antaranya Tadika Khalifah Intelek, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar, The Good Shop, SD28 dan sukarelawan pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Majlis ini berlangsung dari jam 11:00 pagi hingga 5:00 petang dan berjaya menarik lebih 600 pengunjung termasuk kanak-kanak dan ibu bapa.

Acara ini bertambah meriah dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi sama anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, yang turut berkenan menyertai aktiviti bersama anak-anak dan ibu bapa.

Dalam titah baginda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen menzahirkan rasa gembira melihat kanak-kanak menikmati masa berkualiti bersama keluarga melalui aktiviti riadah dan pembelajaran santai. Baginda turut menekankan kepentingan program seperti ini dalam menggalakkan perkembangan holistik kanak-kanak serta menyatukan komuniti.

Sepanjang majlis, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan yang bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak bermain, malah turut melibatkan ibu bapa dalam sesi interaktif. Aktiviti seperti Permainan Bongkah Besar dan Bongkah Biru menjadi tarikan utama di mana kanak-kanak bersama ibu bapa membina struktur kreatif secara bersama-sama. Aktiviti Messy & Clay Play pula memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka kreativiti melalui seni tangan yang menyeronokkan.

Dalam usaha memberi ilmu keibubapaan, sesi Bengkel Cerita & Muzika telah dikendalikan oleh Prof. Dr Bustam Kamri, Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak dan barisan pensyarah dari Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI). Aktiviti ini bukan sahaja memupuk minat bercerita dan muzik dalam kalangan kanak-kanak tetapi turut memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk menyokong perkembangan emosi anak-anak. Selain itu, sesi Napkin Folding & Pemakanan yang dipimpin oleh Prof. Dr Naim Kamari, juga seorang Professor di UCMI berjaya menarik perhatian ibu bapa yang ingin menambah kemahiran praktikal dalam kehidupan harian.

Aktiviti bertema “Dunia Mereka Dunia Kita” turut memberi penekanan kepada perkembangan kanak-kanak melalui sesi perkongsian maklumat. Sesi ini membantu ibubapa memahami lebih mendalam tentang keperluan anak-anak di samping mendekatkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti santai yang mendidik.

Rata-rata pengunjung melahirkan rasa puas hati dan teruja menyertai majlis ini. Mereka berharap agar program seperti ini diteruskan setiap tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai keluarga untuk bersama-sama menghargai masa berkualiti bersama anak-anak. Dengan tema “Riuh Ceria, Dunia Kita. Bersama Si Manja Ukir Kenangan!”, program ini bukan sahaja menyuntik semangat keceriaan tetapi jugamenjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mendidik komuniti tentang keibubapaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button