Acara

MAIPs Seru Masyarakat Sumbang Dana Pembinaan Masjid As-Solihin Chuping

Dalam usaha merealisasikan pembinaan Masjid As-Solihin di Chuping, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyeru masyarakat Islam di seluruh negara untuk bersama-sama menyumbang dana bagi melengkapkan keperluan pembiayaan projek bernilai RM7.5 juta ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau tapak cadangan pembinaan masjid tersebut semalam sempena program Kayuhan MAIPs Peduli, yang turut menggabungkan aktiviti menyantuni komuniti setempat. Lawatan ini mencerminkan keprihatinan baginda terhadap pembangunan prasarana agama dan kepentingan sokongan masyarakat dalam usaha pembinaan masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor menyatakan bahawa sebanyak RM5 juta telah tersedia untuk pembinaan masjid tersebut, namun dana tambahan sebanyak RM2.5 juta lagi masih diperlukan. Beliau menyeru masyarakat untuk menyokong inisiatif wakaf ini, yang akan membawa manfaat besar kepada ummah.

“Masjid As-Solihin bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga akan menjadi pusat komuniti untuk aktiviti sosial, pendidikan agama, dan pembangunan masyarakat. Setiap sumbangan, kecil atau besar, sangat bermakna untuk memastikan pembinaan masjid ini dapat diteruskan,” katanya.

Program Kayuhan MAIPs Peduli, yang turut menyalurkan bantuan kepada keluarga asnaf dan golongan memerlukan, turut menjadi platform bagi mempromosikan kempen wakaf ini. Baginda menyeru masyarakat agar tidak melepaskan peluang untuk berwakaf, memandangkan wakaf merupakan amalan sedekah jariah yang berterusan manfaatnya bukan sahaja di dunia, malah hingga ke akhirat.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; dan Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak, yang menyatakan sokongan penuh pihak korporat terhadap inisiatif ini. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen sektor korporat dalam membantu menjayakan pembangunan institusi keagamaan di negara ini.

Setiap sumbangan adalah langkah besar ke arah merealisasikan masjid ini sebagai pusat ibadah dan pembangunan komuniti yang bermanfaat untuk generasi kini dan akan datang.

Masyarakat yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui saluran wakaf yang disediakan oleh MAIPs. Anda boleh membuat sumbangan terus melalui pautan berikut: https://bayaran.maips.gov.my/donation_pay?categ=8.

MAIPs juga menyeru semua pihak untuk turut serta dalam usaha ini, kerana setiap sumbangan, sekecil mana sekalipun, mampu memberikan impak yang besar dalam menjayakan projek ini demi kesejahteraan bersama.

Dalam program edisi kali ini Tuanku Raja Muda berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat daripada MAIPs kepada Ishah Kasim 76 tahun di Kg Bawah Bukit, Hasirah Itam 74 tahun di Kg Balik Bukit dan Reney Arlina Rusli 49 tahun di Kg Balik Guar.

Baginda juga singgah di Balik Bukit Campsite di Chuping yang juga dikenali sebagai ‘BBC Campsite’ sebagai tanda sokongan sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button