Mydin bagi green light pada Khairul Aming amik barang apa sahaja untuk bantu mangsa banjir di Kelantan
Syarikat pemborong dan peruncit terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), telah mempermudahkan urusan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, dalam meneruskan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.
Menerusi video yang tular di TikTok, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, memberi jaminan untuk membenarkan Khairul Aming mengambil barangan di premis Mydin tanpa sebarang halangan demi membantu mangsa yang terkesan.
“Awak boleh ambil barang seberapa banyak awak nak. Tak perlu hantar orang atau guna kad kredit. 20,000 atau 100,000 pun tak apa. Selepas banjir, awak bayarlah,” katanya dengan penuh keyakinan.
Keadaan banjir di Kelantan semakin kritikal dengan jumlah mangsa mencecah hampir 100,000 orang. Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, memaklumkan melalui Instagram bahawa sebaik tiba di Kelantan pada Sabtu, dalam tempoh dua jam sahaja, beliau berjaya mengumpulkan bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas.
Selain memudahkan urusan pempengaruh itu, Mydin juga menyumbangkan barangan keperluan kepada mangsa banjir sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.
Usaha ini mendapat pujian ramai yang menyaksikan sinergi antara syarikat korporat dan individu dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri yang terjejas.