Ucapan Naib Canselor tular, tontonan 1 juta sempena konvokesyen UPSI
Tanjung Malim : Ucapan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang disampaikan penuh syahdu mendapat perhatian penonton di media sosial dan yang berada di dalam Dewan Tuanku Canselor seperti tahun lalu.
Ucapan beliau yang tersusun dengan kata-kata indah dan membawa makna yang mendalam itu membuatkan penonton media sosial atau yang berada di dalam Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah tidak mampu menahan sebak.
Begitu juga sempena majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 yang berlangsung dari 23 hingga 30 November 2024.
Ucapan sempena konvokesyen Prof Md Amin itu ibarat sentiasa dinantikan ramai kerana membawa mesej yang mendalam dan mengesan jiwa yang penuh pesanan dan nasihat.
“Dalam ucapan, saya suka memastikan ia sarat dengan pesanan yang realiti dengan kehidupan, ” katanya.
Justeru, tontonan di media sosial facebook mencapai seramai lebih satu juta, manakala tiktok mencapai lebih 121 ribu.
Beliau berkata ucapan yang disampaikannya itu juga adalah satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai menyahut seruan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi ( KPT) dalam memartabatkan Bahasa Melayu selain meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Pendeta Za’ ba.
Za’ba yang pernah menjadi penterjemah di Pejabat Karang Mengarang pada era Sultan Idris Training College ( SITC) meninggalkan aura sepanjang zaman dalam kalangan pencinta bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan.
” Saya menulis teks dengan suara yang lahir dari hati sanubari yang disulam dengan nasihat kepada graduan tentang jasa terhadap keluarga dan Ibu Kandung Suluh Budiman yang tercinta, ” katanya.
Beliau berkata graduan harus membuat persiapan diri untuk mendepani realiti kehidupan di luar sana.
Katanya bagi memberi impak semasa berucap, teks ucapan dipadankan dengan pilihan lagu yang bertepatan agar membawa makna yang lebih mendalam.
Antara lain kata-katanya, “Pergilah adik , pergilah cinta,
menimba ilmu diluar sana,
auranya kehidupan terlalu amat jauh berbeza. Jika terjatuh, tiada yang mengangkat kita.
Kerana semuanya, dengan masing masing punya cerita. ”
Seorang netizen , Bakri Hanafiah berkata , “Bila semua karakter disatukan dalam ucapan..terasa menusuk sanubari..kerana dia Naib Canselor, dia juga seorang bapa, dia juga seorang anak, dia juga seorang pendidik.. Tahniah kepada semua para graduasi!”.
Teks ucapan Prof Md Amin yang viral itu ditulis sendiri dengan bantuan dari pensyarah dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.