Strategi asas yang mantap asas kejayaan pelajar – Raja Muda Perlis
ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Para pelajar memerlukan strategi asas yang mantap jika mahu menjadi individu yang berjaya sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum kerana sebarang kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan juga pengorbanan’.
Baginda bertitah, pelajar yang berjaya perlu mempunyai tahap fokus yang tinggi untuk memastikan diri tidak ketinggalan dalam pembelajaran dan memulakan langkah dengan menetapkan matlamat atau sasaran masing-masing dalam apa-apa juga yang dilakukan.
“Pembahagian masa yang bijak juga harus diberikan perhatian. Jadual sekolah dan jadual harian perlu seimbang agar para pelajar turut mempunyai masa yang cukup untuk berehat. Hal ini untuk memastikan para pelajar tidak stres dan sentiasa bersemangat untuk memulakan hari yang baharu”
Demikitan titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad, Arau yang melibatkan seramai 300 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3 pada rabu.
Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Haji Che Rasaidi Che Yob dan Pengetua seKolah tersebut, Hajah Adila Muhammad Nor.
Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Menurut Adilah dalam ucapan aluannya menyatakan, semua pihak memainkan peranan secara kolaboratif dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang dari semua aspek sejajar dengan perkembangan global yang menekankan kepentingan insan bermentalitu kelas pertama dalam segala tindakan.
Beliau yakin program sebegini dapat mewujudkan ukhwah murni antara semua yang hadir. Malahan, pelajar-pelajar yang bertuah ini turut dapat menimba ilmu dan mengetahui perkembangan isu-isu semasa melalui topik-topik yang telah disampaikan khas oleh para penceramah yang diundang khas sempena Program Titian Kasih Mega 2024 inj.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian ‘DSA Showroom Case’ yang merupakan bilik khas yang memaparkan kejayaan bekas pelajar-pelajar sekolah ini, hasil seni lukisan tangan serta menyaksikan demonstrasi robot sumo daripada para pelajar sekolah itu.