Pendidikan

Raja Muda Perlis tekankan pentingnya perpaduan terus dipelihara

ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Perpaduan bukan hanya sekadar hidup bersama-sama, tetapi perpaduan adalah tentang saling memahami, menghormati, dan menerima perbezaan antara satu sama lain. Setiap kaum mempunyai keunikan tersendiri, dan melalui penghargaan terhadap kepelbagaian inilah menjadikan masyarakat di Malaysia ini masyarakat yang majmuk’.

Baginda bertitah, ‘Setiap pelajar harus berusaha untuk menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa. Amalan saling menolong, berbincang dengan penuh rasa hormat, dan bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti sekolah tanpa mengira latar belakang perlulah diamalkan’.

Baginda juga percaya, dengan semangat perpaduan ini, kita bukan sahaja dapat mencipta suasana yang lebih baik di sekolah, malah kita juga dapat membawa nilai-nilai murni ini ke dalam kehidupan masyarakat di luar sana.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein yang melibatkan seramai 327 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3 pada rabu.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Haji Che Rasaidi Che Yob dan Pengetua, Noryah Md Noh.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Noryah dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa SMK Syed Hussein telah melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum termasuklah dengan membuat penambahbaikan yang efisien dalam pelaksanaan program- program kecemerlangan akademik dalam usaha memastikan keputusan SPM 2024 menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Sekolah ini telah berjaya menjadi johan dalam pelbagai pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri. Antaranya ialah Mini Documentary Competition 2024 dan Bridge Building Competition 2024 di peringkat negeri serta johan bagi Pertandingan Boling MSSPs 2024, Kejohanan Memanah MSSPs, Kejohanan Golf MSSPs 2024, Kejohanan Olahraga MSSPs 2024 dalam acara lompat tinggi.

Para pelajar juga telah mengharumkan nama negeri dan sekolah dengan mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan bagi, Robot Berautonomi Mikrobotik 2024, Karnival KRS dan Tunas KRS, Kejohanan Ultimate Frisbee Border Line Cup Open 2024 serta kejayaan pelajar PPKI yang membawa pulang Pingat Perak Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM dalam acara 400 meter, Pingat gangsa Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM bagi acara merejam lembing dan Para SUKMA Sarawak 2024 dalam acara sukan angkat berat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian ‘Bengkel Hipster Pastries’ yang akan menjadi ruangan khas buat pelajar PPKI sekolah untuk mendalami dan mempelajari ilmu pembuatan serta penyediaan pastri.

Baginda berdua turut dipersembahkan demonstrasi oleh para pelajar dengan bimbingan guru-guru penyediaan kek gebu, panna cotta serta cara-cara mendekorasi kek.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button