Industri lega kuota NEM Rakyat kembali dibuka
Pengumuman oleh Pihak Berkuasa Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) untuk membuka semula kuota program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi kategori NEM Rakyat dan NEM Nova melegakan pihak industri.
Menurut mereka, dengan pembukaan semula kuota sebanyak 50 megawatt (MW) lagi untuk NEM Rakyat dan tambahan 300 MV lagi untuk NEM Nova akan membolehkan mereka memproseskan langganan pelanggan yang tertangguh sebelum ekoran kehabisan kuota.
Pada masa sama kata mereka, ia juga membantu kepada kelangsungan proses peralihan tenaga negara dengan menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan tenaga bersih terutamanya solar.
“Kami menerima banyak pertanyaan dan langganan daripada pelanggan yang mahu berubah daripada penggunaan tenaga elektrik konvensional kepada berasaskan solar. Namun, ia tertangguh disebabkan kehabisan kuota NEM Rakyat.
“Kini apabila kerajaan membuka semula kuota ini dengan penambahan 50 MW lagi untuk NEM Rakyat dan 300 MV untuk NEM Nova, maka kami dapat memproses semula segala langganan dan permohonan yang tertangguh,” kata Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng.
Sehubungan itu katanya, pihak industri mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), SEDA dan Suruhanjaya Tenaga (ST) kerana peka akan keperluan rakyat dan industri.
Yang lebih penting kata Guntor, ini adalah tanda komitmen kerajaan yang jitu terhadap pelan peralihan tenaga negara.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan NEM Rakyat dibuka semula pada 25 November 2024 dengan jumlah kuota tambahan sebanyak 50MW.
Penambahan ini menjadikan jumlah kuota keseluruhan untuk NEM Rakyat sejak pelaksanaannya pada tahun 2011 adalah sebanyak 450MW.
Selain itu, bagi menyokong usaha syarikat korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dari aspek pembekalan elektrik hijau, kuota kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditingkatkan sebanyak 300MW lagi kepada 1,400MW.
Pertambahan kuota ini juga selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan program NEM kepada 30 Jun 2025.
Kuota NEM Rakyat sebelum ini telah habis dimohon pada awal bulan November 2024.