CEO Influencers Asia tidak setuju pempengaruh Malaysia dilabel kurang bijak!
BARU-baru ini media melaporkan yang mendakwa pempengaruh media sosial Malaysia kurang bijak dalam menghasilkan kandungan. Namun, kenyataan tersebut dibidas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Asia All Star Influencers Award, Datuk Abdul Rahman Soltan.
Menurutnya, persepsi itu tidak adil dan tidak menggambarkan kebolehan sebenar generasi muda Malaysia, yang semakin menyerlah di dunia digital.
“Saya tidak setuju dengan dakwaan bahawa pempengaruh media sosial Malaysia menghasilkan kandungan kurang bijak. Jika kita menilai dari sudut kreativiti, orang Melayu antara yang paling kreatif. Ramai pencipta kandungan dan pembikin filem berasal dari kalangan generasi muda kita,” katanya dalam sidang media Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024.
Beliau turut menegaskan bahawa platform seperti ASIA All Star Influencer memberi peluang kepada pempengaruh tempatan untuk mempamerkan kehebatan mereka di peringkat antarabangsa.
Dalam acara sama, Rahman Soltan turut melancarkan program Meraikan Bakat Digital Asia, yang memasuki edisi kedua selepas sambutan hangat tahun lalu.
Program ini menghimpunkan 60 pempengaruh media sosial terkemuka dari sembilan negara, termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Taiwan, Singapura, dan Malaysia.
Para peserta akan bertanding dalam 13 kategori anugerah yang mengiktiraf kreativiti, impak sosial, dan inovasi kandungan digital, yang berlangsung dari 3 hingga 8 Disember 2024.
“Kami mahu mengiktiraf individu yang membawa perubahan positif dalam dunia digital. Dengan ganjaran seperti wang tunai, perjalanan eksklusif ke Dubai, dan Trofi Asia, kami berharap ini akan menginspirasikan lebih ramai pencipta kandungan untuk terus berkarya,” tambahnya.
Antara kategori anugerah yang dipertandingkan ialah Best Storyteller Award, Best Culture Curator Award, dan Best Transition/Editing Award. Setiap pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai dan trofi eksklusif.
Acara ini juga menjadi platform untuk mempromosikan keindahan dan budaya Malaysia. Melaka dipilih sebagai lokasi utama aktiviti, menawarkan pengalaman unik kepada para peserta sambil menonjolkan daya tarikan negeri bersejarah itu.
Kemuncak acara ialah Asia2024 Gala Night pada 7 Disember 2024, di mana pemenang setiap kategori akan diumumkan dalam suasana penuh glamor. Malam gala ini juga membuka peluang kepada pempengaruh untuk bekerjasama dengan jenama tempatan dan antarabangsa dalam kempen digital mereka.
Edisi lalu menyaksikan kejayaan pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn, yang dinobatkan sebagai Pempengaruh Media Sosial Terbaik, membawa pulang USD10,000, Trofi Asia, dan pengiktirafan antarabangsa.
Tambah Rahman Soltan, ASIA 2024 turut menyokong kempen Tahun Melawat Melaka 2024, dengan matlamat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Melalui kandungan kreatif yang dihasilkan peserta, keunikan budaya Malaysia dapat dikongsi dengan jutaan pengikut di seluruh dunia,” jelasnya.
Dengan capaian dijangka melebihi 300 juta tontonan di platform media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube, acara ini bukan sahaja memartabatkan Malaysia di peringkat antarabangsa tetapi juga memberi peluang kepada jenama tempatan untuk menembusi pasaran serantau.
Anugerah ini membuktikan potensi industri pengaruh digital di Asia dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kreatif serantau.
“Kami percaya anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf bakat tetapi juga menyatukan komuniti digital Asia untuk mencipta perubahan positif,” jelasnya.
Dengan ganjaran lumayan, pengiktirafan antarabangsa, dan peluang mempromosikan Malaysia, Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 adalah acara yang wajib disertai.
Ia bukan sahaja meraikan kreativiti tetapi juga menjadi platform untuk membina masa depan dunia digital yang lebih bersatu, inovatif, dan progresif.