Kerajaan Persekutuan tidak sabotaj pelaburan di Kedah
KERAJAAN Persekutuan tidak pernah sabotaj pelaburan ke negeri Kedah, malah telah banyak pelaburan dibawa masuk ke negeri itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, terkini, susulan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Korea Selaran, Hyundai Motor Company (HMC) telah mengumumkan pelaburan tambahan RM2.16 billion di Kulim, Kedah.
“HMC merancang untuk menjalankan pemasangan kenderaan tempatan, termasuk model EV, di Kulim, Kedah.
“Selain itu, syarikat ini juga akan menghasilkan model premium dan mewah yang disasarkan untuk pasaran ASEAN.
“Pengeluaran dijangka akan bermula pada pertengahan 2025. Kerjasama ini turut merangkumi pengembangan ekosistem EV tempatan, dengan penekanan kepada teknologi bateri EV yang berinovasi tinggi.
“Pelaburan tambahan Hyundai akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab automotif serantau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030).
“Komitmen Hyundai juga akan mewujudkan ratusan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, dan mencipta lebih banyak pekerjaan tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang menyokong operasi mereka,” katanya.