Nasional

Kunjungan hormat Sheikh Khaled, peristiwa bermakna untuk ELMU

Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) mengalu-alukan kunjungan hormat Pengerusi Bin Zayed International (BZI), Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan ke kampus universiti itu di Bandar Enstek, Nilai sambil berkata lawatan itu akan menjadi satu peristiwa penting bagi ELMU yang baru sahaja memulakan operasinya sebagai universiti penguatkuasaan undang-undang pertama di rantau Asia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata Sheikh Khaled menyatakan kekagumannya dengan ELMU kerana tidak ada universiti lain di dunia yang khusus dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

 

Tambahnya, Sheikh Khaled juga yakin penubuhan Institut Sains Jenayah di universiti itu merupakan satu inisiatif yang baik kerana ia akan membantu agensi penguat kuasa dan kerajaan memerangi jenayah terancang serta menyediakan program latihan kepada pegawai penguat kuasa.

 

Mengenai kursus pendek yang dikendalikan universiti itu, Kassim berkata anggota kerabat diraja Abu Dhabi itu percaya ia akan menjadi tarikan kepada badan penguat kuasa undang-undang bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat antarabangsa.

 

Mengulas mengenai pelancaran pejabat BZI di Kuala Lumpur, beliau berkata kehadiran BZI di Malaysia sudah tentu akan meningkatkan sektor hartanah, perkhidmatan kewangan dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

 

“Cawangan BZI di Malaysia, Bin Zayed International (M) Bhd, terletak di lokasi strategik di Tun Razak Exchange bersedia untuk memainkan peranan utama di rantau Asia Tenggara. Operasi BZI di Malaysia pastinya akan menjadi pemangkin kepada usahawan Malaysia untuk meneroka peluang yang lebih besar di pasaran antarabangsa,” katanya.

 

Kassim berkata beliau berharap kerjasama ELMU dengan BZI akan memberikan hasil positif dan bermanfaat dalam melaksanakan strategi dan operasi ELMU.

 

“Kami menghargai minat Sheikh Khaled terhadap misi kami dan mengalu-alukan bimbingan dan sokongan beliau dalam menempuh cabaran yang mungkin akan kami hadapi dalam mengharungi bidang pendidikan yang serba kompetitif ini.

 

“Sheikh Khaled bukan sahaja seorang usahawan tetapi juga berminat untuk memupuk silaturahim dan ini jelas ditunjukkan melalui kunjungan hormat ke kampus kami,” katanya.

 

Kassim berkata ELMU akan memanfaatkan hasil lawatan itu untuk melaksanakan strateginya bagi membina landasan yang lebih kukuh dalam sektor pendidikan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button